suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Gaji minimum naik lagi? Bos syarikat ‘ikan bilis’ usah resah, ini kaedah ‘survival’ elak bisnes gulung tikar!

Usahawan PMKS perlu bersedia jika cadangan kenaikan gaji minimum dilaksanakan kerajaan. -Gambar hiasan AI

CADANGAN Kenaikan gaji kehidupan wajar daripada RM1,700 kepada RM3,100 yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Ogos lalu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga maya.

Paling terkesan pastinya golongan majikan, khususnya pemilik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang dijangka bakal menerima tamparan hebat sekiranya cadangan berkenaan benar-benar dilaksanakan.

Pun begitu, perunding sumber manusia Syahme Baharudin di laman Threads tampil dengan sudut pandang berbeza apabila menggesa para majikan untuk fokus kepada persediaan dalaman perniagaan masing-masing.

Jelasnya, sekarang bukan masa untuk masyarakat atau majikan terus berbalah serta meluahkan rasa tidak puas hati, sebaliknya fokus utama mestilah tertumpu kepada pengukuhan pengurusan kewangan dan aliran tunai syarikat.

"Untuk majikan terutamanya skala mikro dan SME, sekarang bukan masa untuk kita sibuk luahkan perasaan atau bising-bising je... bagaimana kalau benda ni betul-betul terjadi?

"Mula bertindak sekarang, naik taraf ilmu kewangan dan jangan setakat tahu sales masuk, duit keluar, lepas tu tengok baki bank je.

"Fahami kos perniagaan, fahami aliran tunai, dan semak sejauh mana perbelanjaan tenaga kerja memberi impak kepada bisnes. Dalam masa sama, sambil fokus pada hasil dan pemasaran, tengok balik perancangan sumber manusia," katanya.

Tambahnya, struktur pengambilan pekerja dan jumlah tenaga kerja sedia ada perlu disemak semula secara teliti agar lebih efisien serta seiring dengan bajet semasa syarikat.

Malah tegasnya, setiap ruang ataupun peranan perlu diisi oleh pekerja yang benar-benar memberikan nilai tambah kepada syarikat agar keuntungan dapat dimiliki pada kadar maksimum.

"Adakah kita ada penilaian kerja dan struktur ganjaran yang betul? Mungkin ya, akan ada peranan atau tenaga kerja yang kena semak semula sebab tak capai nilai atau standard yang syarikat perlukan.

"Itu bukan bermaksud kita kena buat keputusan ikut suka hati tapi setiap perniagaan perlu tahu siapa dan apakah nilai setiap peranan pekerja terhadap syarikat.

"Kalau nak survive dengan perubahan yang mungkin datang, jangan tunggu benda tu jadi baru panik," katanya.

Pada Isnin, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir dilaporkan berkata, kerajaan mengambil kira keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan majikan berhubung cadangan peningkatan gaji minimum.

Justeru katanya, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2027 Oktober ini.

Artikel Lain