Perintah daripada mahkamah syariah akan menyebabkan simpanan yang terdapat di dalam KWSP tidak tertakluk kepada hukum faraid.
JIKA bercakap tentang tuntutan harta sepencarian, biasanya ramai wanita akan tertumpu tentang aset seperti rumah, kereta, wang simpanan dan aset perniagaan.Bagaimanapun, ramai tidak menyedari tuntutan tersebut sebenarnya turut meliputi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang tempoh perkahwinan, sama ada bagi kes kematian atau penceraian dengan suami. Malah, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 pada 2025 turut memutuskan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.Mengulas mengenai proses membuat tuntutan tersebut, perancang harta pusaka, Aina Atirah berkata, isteri secara asasnya boleh memulakan prosedur dengan membuat tuntutan di Mahkamah Syariah."Isteri perlu buktikan asas tuntutan dan sumbangan dalam memperoleh dan meningkatkan harta tersebut."Mahkamah menentukan berapa bahagian yang layak diberikan kepada isteri," katanya di Threads.Menurut Aina, perintah Mahkamah Syariah kemudiannya akan dibawa kepada pihak KWSP untuk diproses.Merujuk kepada keputusan MKI tersebut, Muzakarah menetapkan bahawa KWSP hendaklah menguruskan tuntutan berdasarkan perintah Mahkamah Syariah yang telah dimeterai, termasuk memindahkan jumlah diperintahkan ke akaun penerima.Bagaimanapun, beliau menjelaskan prosedur tuntutan dan peruntukan undang-undang di Mahkamah Syariah boleh berbeza mengikut negeri.Dalam pada itu, keputusan Muzakarah MKI pada 2025 turut menetapkan bahagian harta sepencarian yang diperintahkan Mahkamah Syariah untuk diserahkan kepada pasangan tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum.Ini bermakna pengurusan bagi dana harta sepencarian berkenaan tidak akan tertakluk kepada hukum faraid.