suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pemuda terduduk pinjaman ditolak saat akhir, puncanya sangkut ‘debt service ratio‘... Yuran tempahan RM10,000 pula hangus!

Ramai pembeli terlupa menyemak nisbah khidmat hutang sebelum membuat permohonan pinjaman. -Gambar hiasan AI

FAKTOR gaji yang stabil dan komitmen bulanan terkawal sering membuatkan ramai yakin permohonan pinjaman perumahan mereka tidak akan berdepan masalah.

Namun hakikatnya, masih ramai pembeli rumah pertama terlepas pandang beberapa syarat penting digunakan institusi kewangan ketika menilai kelayakan pinjaman.

Akibatnya, ada terpaksa berdepan kekecewaan apabila permohonan ditolak pada saat akhir,.

Lebih perit apabila wang tempahan yang dibayar hasil penat lelah mengumpul simpanan turut hangus begitu sahaja.

Perkara itu dikongsikan pelabur hartanah, Mustaqim Yusof menerusi satu hantaran di Threads selepas menerima panggilan daripada rakannya yang kecewa apabila permohonan pinjaman rumah ditolak bank meskipun sudah membayar booking fee sebanyak RM10,000.

Ramai yang tidak sedar mengenai nisbah khidmat hutang. -Gambar hiasan AI

Ramai yang tidak sedar mengenai nisbah khidmat hutang. -Gambar hiasan AI

Menurut Mustaqim, rakannya ketika itu begitu teruja selepas menemui unit kediaman tiga bilik berhampiran stesen LRT yang menepati bajet dan keperluannya.

Malah, dia sudah memilih susun atur rumah, merancang dekorasi dan hanya menunggu kelulusan pinjaman sebelum meneruskan proses pembelian.

Namun segala perancangan itu berubah sekelip mata apabila permohonan pinjaman yang dinantikan ditolak bank atas satu faktor yang tidak pernah diambil kira sebelum membuat bayaran tempahan.

"Dia ingat semua okay. Gaji RM5,000, kerja stabil, credit score pun tak ada masalah besar. Tapi dia tak tahu satu benda penting," tulis Mustaqim.

Menurutnya, masalah sebenar berpunca daripada nisbah khidmat hutang atau Debt Service Ratio (DSR) yang tidak dikira dengan tepat sebelum membuat komitmen membeli rumah.

Dia yang juga seorang jurutera berkata, rakannya mempunyai beberapa komitmen bulanan termasuk pinjaman kenderaan RM800, pinjaman peribadi RM400 dan bayaran PTPTN RM250 sebulan.

Pada mulanya, dia menyangka DSR masih berada pada tahap selamat kerana jumlah komitmen bulanan hanya sekitar 29 peratus daripada gaji kasar RM5,000.

Namun apa menjadi masalah ialah kebanyakan bank membuat penilaian berdasarkan gaji bersih selepas ditolak caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan potongan cukai bulanan (PCB).

Menurut pengiraan yang dikongsikan Mustaqim, gaji bersih rakannya hanya sekitar RM4,100 sebulan, sekali gus menyebabkan DSR sebenar mencecah 64.6 peratus selepas mengambil kira komitmen sedia ada.

Keadaan itu menyebabkan permohonan pinjaman perumahan ditolak kerana melebihi had ditetapkan sesetengah institusi kewangan.

Lebih mengecewakan, wang tempahan RM10,000 yang dikumpulkan selama lapan bulan tidak dapat dipulangkan kerana syarat dan terma pembelian menyatakan penolakan pinjaman akibat faktor kewangan pembeli bukan tanggungjawab pemaju.

Mengulas lanjut, Mustaqim berkata pembeli rumah sepatutnya membuat semakan DSR terlebih dahulu sebelum membayar sebarang booking fee.

Katanya, langkah paling selamat adalah mendapatkan pra-kelulusan atau pre-approval daripada bank terlebih dahulu, selain bertanya jumlah pinjaman yang berpotensi diluluskan sebelum memilih hartanah.

Selain itu, mereka juga disaran menyelesaikan hutang-hutang kecil seperti pinjaman peribadi atau baki kad kredit bagi mengurangkan komitmen bulanan dan meningkatkan peluang permohonan diluluskan.

"Tunggu tiga hingga enam bulan dan mohon semula jika perlu.

"Jangan bagi keterujaan beli rumah kalahkan pertimbangan yang sepatutnya dibuat lebih awal," katanya.

Artikel Lain