Pembeli kerap terlepas pandang jumlah pembiayaan sebenar sejurus pinjaman bank diluluskan. -Gambar hiasan AI
MEMBELI rumah pertama sememangnya menjadi impian ramai, namun tidak semua pembeli menyedari bahawa kelulusan pinjaman bank sebenarnya tidak semestinya menampung keseluruhan harga hartanah dan 'kos tersembunyi'.Akibat kurang memahami proses pembiayaan, ada pembeli sekadar mengetahui mereka perlu menyediakan wang tambahan sejurus selepas pinjaman diluluskan. Namun hakikatnya terdapat beberapa kos lain yang perlu diberi perhatian, sekali gus berisiko menyebabkan urusan jual beli tergendala di pertengahan jalan.Menerusi satu perkongsian di Threads, firma guaman Nik Safia & Co menjelaskan situasi tersebut melibatkan apa yang dikenali sebagai Differential Sum atau wang beza.Menurut firma itu, wang beza ialah perbezaan antara harga rumah yang dipersetujui dalam Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan oleh bank.Sebagai contoh, jika harga rumah ialah RM350,000 tetapi bank hanya meluluskan pembiayaan sebanyak RM300,000, pembeli perlu menyediakan sendiri baki RM50,000 sebelum transaksi boleh diselesaikan.Setiap individu mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri. -Gambar hiasan AIMengulas lanjut mengenainya, ujar firma terbabit, bank hanya akan melepaskan jumlah pembiayaan yang telah diluluskan, manakala wang beza itu perlu dijelaskan oleh pembeli menggunakan simpanan sendiri atau sumber kewangan lain."Kenapa pinjaman boleh jadi kurang daripada harga rumah? Antaranya bank tidak menawarkan pembiayaan penuh, nilai pasaran rumah lebih rendah daripada harga jualan atau kelayakan pembiayaan pembeli tidak mencapai harga hartanah yang ingin dibeli," jelasnya.Dalam masa sama, pembeli juga perlu mengambil kira kos-kos lain seperti fi guaman, duti setem dan pelbagai caj berkaitan yang lazimnya tidak termasuk dalam jumlah pembiayaan bank.Sehubungan itu, Nik Safia & Co menasihatkan bakal pembeli supaya tidak hanya bergantung kepada status 'loan lulus' semata-mata sebelum menandatangani SPA.Sebaliknya, mereka perlu menyemak jumlah sebenar pembiayaan yang diluluskan dan mengira lebih awal wang beza yang perlu disediakan bagi mengelakkan kelewatan atau kegagalan melengkapkan urusan pembelian rumah.Perkara itu turut dijelaskan oleh Majlis Peguam Malaysia yang menyatakan sekiranya jumlah pinjaman pembeli lebih rendah daripada harga pembelian, pembeli perlu membayar Difference Sum terlebih dahulu kerana pembayaran tersebut menjadi antara syarat sebelum pihak bank melepaskan pembiayaan.