MEMANG seronok dan rambang mata kalau setiap bulan akaun bank dihiasi gaji lima angka.Malah amaun bulanan yang besar itu sering dianggap sebagai jaminan untuk menikmati kehidupan selesa tanpa perlu runsing memikirkan masalah kewangan. Namun hakikatnya, jumlah pendapatan tidak menentukan kedudukan kewangan seseorang sekiranya perbelanjaan tidak dikawal.Lebih membimbangkan apabila ada yang sanggup mengamalkan gaya hidup mewah demi 'satu kepuasan', walhal semuanya dibiayai menggunakan hutang semata-mata.Berkongsi satu kes yang dikendalikan, perunding kewangan, Tengku Azim berkata, terdapat individu bergaji RM12,000 sebulan tetapi keadaan kewangannya lebih tenat berbanding mereka yang hanya memperoleh pendapatan RM3,000.Berkongsi kisah mengenai kliennya itu, ujar Tengku Azim, keadaan itu berlaku apabila individu tersebut cuba menjalani kehidupan mengikut standard golongan berpendapatan tinggi atau T20.Masalah kewangan dapat diatasi jika gaya hidup mewah diubah. -Gambar hiasan AINamun hakikatnya, hampir semua perbelanjaannya bergantung kepada kemudahan kredit berkadar faedah tinggi."Klien aku ni pengurus di sebuah syarikat swasta, gaji RM12,500 dan pandu kereta continental yang bulanannya RM2,500. Rumah pula RM3,000 sebulan," ujarnya di Thread.Lebih memburukkan keadaan, klien berkenaan turut memiliki empat kad kredit yang sudah mencapai had maksimum dengan keseluruhan hutang mencecah RM80,000.Menurutnya, hutang itu terkumpul kerana individu berkenaan mahu mengekalkan gaya hidup mewah termasuk kerap melancong dan menikmati makanan di restoran mahal.ARTIKEL BERKAITAN: Ambil ‘husband role’ awal sangat... Lelaki termenung pinjaman beli Ativa ditolak, rupanya tanggung hutang Myvi bekas kekasih RM25,000!"Bayaran minimum kad kredit sahaja sudah RM4,000 sebulan. Apabila diperiksa menerusi CTOS, skor kreditnya cuma 510, iaitu pada tahap sangat lemah disebabkan nisbah hutang yang tinggi."Orang seperti ini sebenarnya mempunyai kuasa membeli kerana bergaji besar, tetapi tersalah mengurus komitmen jangka pendek," jelasnya lagi.Bagi membantu klien tersebut, Tengku Azim menggunakan kaedah penyatuan hutang atau debt consolidation dengan menggabungkan keseluruhan hutang kad kredit berjumlah RM80,000 ke dalam satu pinjaman berjangka sederhana.Ujarnya, pinjaman itu ditawarkan dengan kadar faedah serendah 4.2 peratus setahun, sekali gus membantu mengurangkan komitmen kad kredit daripada RM4,000 kepada RM1,600 sebulan.Langkah berkenaan juga membolehkan aliran tunai bulanannya bertambah sebanyak RM2,400, selain mengelakkan rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) daripada terus terjejas.Bagaimanapun, tegasnya, penyatuan hutang bukanlah ‘lesen’ untuk seseorang kembali berbelanja menggunakan kad kredit, sebaliknya perlu disertai disiplin dan perubahan gaya hidup bagi mengelakkan hutang kembali menimbun.