suria

Tidak lagi berpuak-puak, kini Todak Motorsports payungi semua kelab permotoran

Antara orang kuat Todak Motorsports yang dilancarkan baru-baru ini.

PENCINTA kereta bukan sahaja sanggup berhabisan untuk mencantikkan kenderaan mereka, malah aktif menyertai kelab yang menghimpunkan semua pemilik daripada jenis sama.

Bayangkan jika ada 100 jenis kereta maka akan terdapat jumlah kelab yang sama - dan itu belum dicampur dengan komuniti diwujudkan di setiap negeri.

Kebiasaannya menerusi kelab ini mereka bukan sahaja berkumpul bagi mengeratkan ukhwah tetapi mengadakan pelbagai aktiviti termasuk perlumbaan, pertandingan kereta tercantik atau pameran.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu beratur atau bawa tunai... aplikasi diperkenalkan Petronas boleh 'Setel' isi minyak anda

Namun di sebalik itu, terdapat juga kelab yang bertelagah sesama sendiri termasuklah kelab dari kereta jenis lain sehingga membuatkan mereka berpuak-puak.

Pengasas Todak, Khairul Azlan (kiri), pengerusi Todak Motorsports, Mohamed Hafiez (tengah) menyerahkan sijil penghargaan kepada ahli. 

Atas kesedaran itu juga, pengasas Todak melancarkan Todak Motorsports sebagai satu hub menghimpunkan semua kelab-kelab kereta di negara ini serta merapatkan ukhwah di antara mereka menerusi pelbagai aktiviti.

Pengerusinya, Mohamed Hafiez atau lebih mesra dengan sapaan Mycil berkata, kewujudan Todak Motorsports dilihat dapat mempelbagaikan sukan permotoran dibawah satu entiti menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang 2020.

"Penubuhan kelab ini diusulkan selepas melihat banyak kelab yang mana ahlinya berpuak-puak walaupun kita semua mempunyai minat sama iaitu sukan permotoran dan kereta.

"Jadi saya lihat situasi ini perlu berubah kerana bayangkan kalau kita semua bersatu, ia boleh berkembang menjadi sebuah entiti yang gah dan paling penting ia dapat merapatkan jurang yang ada sebelum ini," katanya yang juga seorang pelumba trek.

Mycil menambah, kewujudan Todak Motorsports juga sebenarnya adalah penjenamaan semula daripada Todak Racing yang sebelum ini memfokuskan kepada perlumbaan sahaja.

Ahli daripada pelbagai kelab turut hadir memberi sokongan. 

Namun katanya, menerusi penjenamaan semula ini, dia selaku presiden membawa misi lebih besar serta perancangan agresif untuk semua ahli terlibat.

"Alhamdulillah apabila kita usulkan cadangan ini, banyak kelab menyatakan persetujuan untuk sertai dalam usaha menyemarakkan arena sukan permotoran negara.

"Malah kami semua sudah bersedia untuk bergerak dalam skala besar dan paling penting di bawah Todak Motorsports terdapat kepelbagaian sukan permotoran di bawah satu entiti seperti drift, drag, gymkana dan konvoi," ujarnya.

Meskipun baharu sahaja bermula, Mycil memberitahu mereka tidak duduk berdiam diri kerana sudah banyak perancangan diaturkan sepanjang tahun ini.

Ini termasuk penganjuran Trackday Sepang Dilanggar Todak (3X), Mega Gathering Meet Uo dan Fun Drive, Advance driving session with Admi and Mycil, Program CSR, Drag Terpadu 2020, Malaysia Speed Festival Racing Super 1500N, MSF Touge dan MCS SP2.

Artikel Sebelum

Artikel Lain