suria

Hello! Jangan malu pakai topeng muka....

Dr. Muzaffar Syah Mallow menasihatkan agar rakyat memakai topeng muka bagi mengurangkan risiko jangkitan virus.

SETIAP orang harus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan diri dijangkiti sebarang jenis penyakit berjangkit.

Umum mengetahui mengenai penularan penyakit berjangkit novel koronavirus ataupun Covid-19 yang sedang hangat dilaporkan pada masa kini diseluruh dunia.

Penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan seseorang dijangkiti itu mengalami masalah penafasan serius ini mula tersebar di negara China dan kini telah menular kebanyakan negara dunia termasuklah Korea Selatan, Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis dan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus masih tiada vaksin... jangan ambil mudah, ketahui langkah penting elak dijangkiti

Puluhan ribu menjadi mangsa dan ribuan nyawa melayan akibat jangkitan virus berbahaya tersebut.

Mencegah lebih baik daripada mengubati

Bagi mengelak diri menjadi mangsa, pelbagai langkah perlu diambil bagi mengurangkan risiko dijangkiti virus berkenaan.

Memakai topeng muka mampu mengurangkan pelbagai risiko jangkitan penyakit.

Di antara langkah disarankan oleh pakar-pakar perubatan ialah dengan menjaga aspek kebersihan diri dengan lebih kerap seperti membasuh tangan, melakukan proses pemeriksaan doktor, serta tidak pergi ke tempat-tempat yang terjejas teruk dengan penularan penyakit berjangkit.

Selain mengambil langkah menjaga kebersihan diri, kita juga boleh menggunakan topeng muka bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Penggunaan topeng muka merupakan satu langkah mudah untuk dilakukan oleh semua pihak termasuk kanak-kanak.

Pengunaan topeng muka dilihat menjadi satu keperluan penting bagi melindungi diri sendiri daripada terdedah dengan sebarang jenis jangkitan ataupun melindungi orang lain daripada jangkitan yang mungkin datang daripada diri kita sendiri.

Walaupun ada yang meragui keberkesanan topeng muka dalam menghalang penyebaran sebarang jenis virus, sekurang-kurangnya kita telah mengambil langkah dalam mengekang penyebarannya. Selebihnya, kita hanya mampu berserah kepada Allah SWT.

Jangan bersikap malas untuk membeli dan mengunakan topeng muka atau berasa malu memakainya ketika berada dikhalayak umum kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab besar melindungi diri kita serta orang sekeliling daripada terdedah kepada risiko jangkitan penyakit berjangkit.

Segera dapatkan rawatan sekiranya terdapat simptom berlarutan. 

Setiap daripada kita perlu memainkan peranan bagi memastikan penularan penyakit berjangkit dapat dikawal dan ini dapat dilakukan di antaranya melalui pemakaian topeng muka.

Adalah penting juga untuk setiap orang mengunakan topeng muka dengan betul supaya ia benar-benar berkesan dan dapat melindungi diri serta orang sekeliling. Antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa hendak memakai topeng muka termasuklah;

1. Memastikan terlebih dahulu bahagian luar dan dalam topeng muka berkenaan.

2. Elakkan daripada menyentuh bahagian dalam topeng penutup muka.

3. Bahagian luar topeng muka biasanya berwarna dan bahagian yang lembut biasanya di atas untuk menutup bahagian hidung.

4. Pegang topeng muka dengan kemas dan tekan perlahan di bahagian hidung untuk memastikan ia berada dalam kedudukan selesa.

5. Pastikan topeng muka dipasang kemas dengan tangan dan bernafaslah seperti biasa.

6. Adalah disarankan topeng muka ditukar terutama apabila ianya telah lama digunakan ataupun setelah yakin ia telah tercemar.

Pemeriksaan ketat dilakukan oleh petugas di lapangan terbang.

Jangan jadi mangsa peniaga!

Akibat daripada penularan penyakit berjangkit koronavirus yang berlaku pada ketika ini, sudah pasti ramai mula berasa panik sekaligus akan berpusu-pusu membeli topeng muka di farmasi.

Pembelian secara panik ini dibimbangi akan menyebabkan sesetengah peniaga mengambil peluang dan kesempatan menjual topeng muka dengan harga lebih tinggi demi mendapatkan keuntungan berlipat ganda.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua pihak memastikan tiada peniaga mengambil peluang diatas peningkatan permintaan terhadap topeng muka oleh orang ramai ketika ini.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil tindakan tegas melalui peruntukkan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah terhadap penjualan topeng muka seperti yang termaktub mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Pengguna perlu berani menggunakan hak serta kuasa mereka bagi memastikan diri mereka tidak menjadi mangsa kepada mana-mana peniaga tidak bertanggunjawab yang ingin mengambil kesempatan diatas situasi ketika ini.

Sebarang aduan berhubung masalah ini boleh disalurkan terus kepada Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP.

***Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Topeng Muka, Coronavirus, Civod-19

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain