suria

Binaan Lego Stadium Old Trafford bakal uji kesabaran penyokong fanatik Red Devils

BAGI peminat bola sepak kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), model Lego Creator Expert bakal menguji tahap minda dan kesabaran anda dalam membina Stadium Old Trafford.

Apa tidaknya, dengan sebanyak 3,898 kepingan Lego, anda pastinya menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pembinaan stadium ikonik Manchester United  ini yang julung kalinya diperkenalkan kepada seluruh pencinta permainan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cepat! Ambil langkah keselamatan elak WhatsApp digodam

Ini merupakan pengalaman secara praktikal bagi peminat untuk membina replika Old Trafford yang cukup sinonim dengan Manchester United.

Binaan Stadium Old Trafford dengan permainan Lego.

Model stadium ini merupakan satu bentuk tribute yang pasti akan menjadikannya antara barangan koleksi berharga buat semua penyokong setia skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer ini.

Pengarah Kerjasama Manchester United, Sean Jefferson berkata, pihaknya berbangga kerana dapat menjadikan stadium terkenal itu dalam bentuk replika binaan Lego.

"Saya yakin kebanyakan daripada kita semua pernah bermain Lego sepanjang kehidupan mereka, bagaimanapun melihat ketelitian pereka (Lego) menghasilkan model ini merupakan sesuatu yang cukup mengagumkan.

"Ini pastinya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan popular dalam kalangan peminat Manchester United dan Lego sendiri," ujarnya.

Pemandangan lengkap Stadium Old Trafford yang siap dibina dengan Lego.

Model ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada peminat permainan Lego di seluruh dunia, selain penghormatan kepada peminat-peminat Manchester United.

Reka bentuk model Lego  Old Trafford yang cukup teliti ini merupakan sesuatu yang cukup istimewa, khusus untuk peminat berusia 16 tahun dan ke atas.

Model replika 1:600 ini menampilkan beberapa ciri asli termasuk jam peringatan Munich, terowong pemain dan tugu Sir Alex Ferguson.

Binaan Lego turut dilengkapi dengan tugu bekas pengendali United, Sir Alex Ferguson.

Lebih menarik model ini pastinya akan menjadi antara barang koleksi paling berharga buat 659 juta penyokong Manchester United, lebih-lebih lagi mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke stadium itu.

Ia juga memberi peluang kepada peminat melibatkan diri dalam satu pengalaman membina yang mencabar, yang pastinya memberi kepuasan apabila melihat hasil kerja tangan sendiri.

Tetapi jangan risau, kerana semua arahan untuk membina model stadium turut disertakan dengan maklumat stadium dan kekayaan sejarah serta warisannya.

Artikel Lain