suria

Soham Parekh gemparkan komuniti teknologi dunia, mengaku bekerja serentak di beberapa syarikat 'startup'

Pendedahan mengenai tindakan Soham tular di media sosial.

SEORANG jurutera perisian berasal dari India, Soham Parekh menjadi tumpuan selepas didakwa bekerja secara serentak di beberapa syarikat 'startup' (permulaan) di Amerika Syarikat tanpa pengetahuan majikan-majikannya.

Tindakan lelaki ini turut dikenali sebagai ‘moonlighting’, satu gelaran untuk individu yang mengambil lebih daripada satu pekerjaan pada masa sama tanpa kebenaran majikan.

Kontroversi itu tercetus apabila pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mixpanel, Suhail Doshi mendedahkan perkara berkenaan secara terbuka di platform X pada Rabu (2 Julai).

Menurut Suhail, Soham bekerja dengan tiga hingga empat syarikat teknologi serentak, terutamanya syarikat yang disokong oleh Y Combinator (YC) dan meminta supaya semua majikan berhati-hati.

"Saya pecat lelaki (Soham) ini pada minggu pertama dan suruh dia berhenti melakukan penipuan dan 'scam' orang lain.

"Dia masih teruskan (buru syarikat YC) walaupun sudah setahun berlalu (diberhentikan kerja). Tiada lagi alasan," tulisnya di laman X.

CV didakwa 90 peratus palsu

Soham yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dari University of Mumbai dan Ijazah Sarjana dalam Sains Komputer dari Georgia Tech, pernah berkhidmat di syarikat Suhail iaitu Playground AI namun dipecat dalam tempoh seminggu selepas taktiknya terbongkar.

Lebih mengejutkan, Suhail turut memuat naik salinan CV milik Soham yang dikatakan mengandungi maklumat palsu hampir 90 peratus.

Dynamo AI, Union.ai, Synthesia dan Alan AI adalah antara syarikat yang didakwa disertai secara serentak oleh Soham.

Suhail berkata dia telah mendapatkan pengesahan daripada lebih enam syarikat sebelum membuat pendedahan itu kepada umum.

Soham tampil beri penjelasan

Tidak berdiam diri, Soham akhirnya tampil mempertahankan diri dalam satu kenyataan di X pada Khamis.

"Banyak yang diperkatakan mengenai saya ketika ini dan kebanyakan anda tidak tahu cerita sebenar.

"Jika ada satu perkara yang anda perlu tahu tentang saya, saya memang suka membina sesuatu. Itu sahaja," tulisnya ringkas.

Dia turut berkongsi bahawa dirinya pernah disisihkan oleh syarikat serta rakan sekerja sebelum ini.

Namun kini dia telah menandatangani kontrak eksklusif sebagai jurutera pengasas bersama sebuah syarikat video AI baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Tangkap layar temu bual Soham menjelaskan mengenai isu berkaitan dirinya.

Demi keperluan, bukan ketamakan

Dalam satu temu bual bersama program TBPN pada Jumaat, Soham tampil secara terbuka dan mengakui semua dakwaan itu adalah benar.

"Ya, benar. Saya memang bekerja di beberapa syarikat serentak," katanya secara jujur ketika ditanya.

Namun begitu, Soham menegaskan bahawa tindakannya bukanlah kerana tamak sebaliknya didorong oleh tekanan kewangan.

Soham menjelaskan ketika itu dia berada dalam keadaan sukar dan segala keputusan dibuat demi kelangsungan hidup dan kestabilan kewangan.

"Tiada siapa pun yang suka bekerja 140 jam seminggu, tapi saya terpaksa. Ini soal keperluan, bukan keuntungan.

“Saya tidak bangga dengan apa yang telah saya lakukan. Saya juga tidak menggalakkan orang lain buat perkara yang sama. 

"Tapi saya lakukan apa yang perlu untuk keluar daripada situasi sukar," tambahnya lagi.

Ketika ditanya sama ada dia sedar tindakannya mungkin melanggar undang-undang, Soham mengakui bertanggungjawab sepenuhnya dan tidak mencari alasan.

Isu etika dalam dunia 'startup'

Pendedahan ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan komuniti teknologi, terutama mengenai etika, ketelusan dan amalan bekerja di dunia 'startup' yang kian mencabar.

Ramai dalam kalangan komuniti teknologi (tech community) di media sosial menyuarakan kebimbangan terhadap budaya ‘moonlighting’ yang dikhuatiri boleh menjejaskan integriti syarikat serta kepercayaan pelabur.

YC adalah sebuah pemecut permulaan (startup accelerator) yang berpangkalan di AS dan terkenal sebagai antara yang paling berpengaruh di dunia.

YC membantu syarikat permulaan (startup) pada peringkat awal dengan pembiayaan benih (seed funding), bimbingan, dan rangkaian sokongan.

Manakala 'startup' bermaksud perniagaan atau syarikat permulaan merujuk kepada sebuah syarikat yang baru ditubuhkan dan masih dalam peringkat awal pertumbuhan, biasanya dengan model perniagaan yang inovatif dan berpotensi berkembang pesat, biasanya melibatkan teknologi.

Artikel Lain