RAMAI wanita suka bergaya dengan memakai barang kemas termasuklah gelang tangan jenis 'bangle'.
Tetapi tidak semua tahu bahawa bentuk cangkuk juga memainkan peranan penting dalam ketahanan dan keselamatan barang kemas dipakai.
Seperti yang terjadi kepada seorang wanita ini, dia berkongsi pengalaman memakai barang kemas 'bangle' 916 miliknya yang mempunyai cangkuk jenis baharu.
Katanya, bangle 916 tanpa sokongan besi itu tercabut secara tiba-tiba, menyebabkan ia terjatuh ke dalam lubang tandas.
Mujurlah suaminya sanggup 'berkorban' dengan menyeluk tangan ke dalam lubang najis tersebut demi menyelamatkan barang kemasnya.
Selepas hantaran itu dikongsikan, beberapa warga maya memberi beberapa cadangan boleh dilakukan untuk mengelakkan perkara ini berlaku.
Pemasangan besi sokongan penting supaya bangle tidak mudah tercabut.
Berikut beberapa tip penting buat mereka yang bercadang untuk membeli atau memakai bangle 916:
1. Elakkan cangkuk tanpa besi sokongan
Cangkuk jenis baharu yang diperbuat 100 peratus emas 916 mungkin nampak cantik dan eksklusif, tapi ia mudah longgar dan tidak tahan lasak.
Tambahan pula, reka bentuknya senang tersangkut pada baju atau tudung sebagaimana berlaku kepada wanita berkenaan.
2. Tambah klip keselamatan
Ramai pengguna mencadangkan supaya tambah klip keselamatan di tepi bangle.
Klip ini berfungsi seperti ‘penyambung’ yang mengelakkan cangkuk terbuka sendiri.
Ia boleh dibuat di kedai emas dengan kos tambahan yang rendah, bergantung pada kedai emas.
3. Selalu periksa dan servis
Walaupun bangle nampak elok di tangan, tetap penting untuk periksa cangkuk secara berkala.
Kalau rasa longgar, cepat-cepat hantar servis di kedai emas supaya tak terlepas atau terjatuh tanpa disedari.