suria

Scammer menyamar J&T konon parcel bermasalah, peniaga kongsi bagaimana boleh terpedaya! 'Terbang' lebih RM7,000

Diyana menceritakan pengalaman menjadi mangsa scammer.

SEORANG peniaga, Diyana Mazlan berkongsi pengalaman nyaris menjadi mangsa penipuan selepas menerima satu SMS yang kononnya dihantar oleh pihak kurier J&T.

Mesej tersebut memaklumkan bahawa barang yang dipesan tidak dapat dihantar kerana berlaku kerosakan pada alamat yang tertera pada bungkusan.

Satu pautan (link) turut disertakan yang memintanya mengemas kini maklumat penghantaran.

Ketika menerima mesej itu, Diyana sedang membuat siaran langsung untuk menjual produk makanan 'ready to eat' di TikTok. 

Disebabkan sibuk dengan perniagaan dalam talian, dia hanya sempat membuka pautan dan membaca kandungan yang tertera secara ringkas sebelum meneruskan sesi 'live'.

Diyana menunjukkan tangkap layar mesej dan butiran yang perlu diisi selepas menekan pautan dihantar.

Laman tersebut turut meminta butiran kad kredit tetapi Diyana tidak terus mengisi maklumat tersebut ketika itu.

Selepas tamat siaran langsung, dia teringat semula tentang parcelnya yang dikatakan bermasalah, lalu segera memasukkan butiran kad seperti diminta.

Tidak lama selepas itu, permintaan pengesahan Secure2U muncul dan Diyana tanpa berfikir panjang terus menekan butang 'approve'.

Selepas pengesahan dibuat, Diyana tersentak apabila melihat jumlah transaksi yang perlu dibayar menunjukkan amaun dalam mata wang AED6,510 (United Arab Emirates Dirham bersamaan RM7,512.83.

Diyana segera menyekat kad kredit dan menghubungi pihak bank dalam tempoh kurang satu minit.

Dia turut meminta pihak bank menyekat semua bentuk transaksi melalui kredit kad, akaun Maybank2u dan kad debit miliknya.

Menurut Diyana, pihak bank memaklumkan keputusan akhir sama ada transaksi itu dapat disekat sepenuhnya hanya akan diketahui dalam tempoh 14 hingga 60 hari. 

Usahawan ini hampir kehilangan lebih RM7,500.

Dia mengakui curiga apabila mesej tersebut dihantar dengan nombor pengirim merupakan nombor luar negara dan bukannya talian tempatan.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana kejadian berlaku selepas selesai membuat siaran langsung. 

Jika berlaku lebih awal, mungkin dia akan lebih panik dan berisiko kehilangan lebih banyak wang.

Perkongsian ini dibuat sebagai langkah berjaga-jaga agar orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan dengan kaedah yang sama.

Diyana merupakan seorang usahawan yang aktif menjual makanan basah dan sedia untuk dimakan di platform TikTok.

Artikel Lain