SERAMAI 51 usahawan dan tokoh daripada pelbagai bidang menerima pengiktirafan dalam Anugerah Tertinggi Usahawan Islam atau 'Islamic Distinguished Enterprise Award' (IDEA 2025), pada Sabtu malam.
Memasuki edisi ke-2, sebanyak lima kategori anugerah diperkenalkan iaitu Crown of Commerce Brand Award, Distinguished Halal Brand Award, Distinguished Everlast Brand Award, Distinguished Consumer Confidence Award dan Distinguished Quality Product Award.
Penerima dinilai berdasarkan komitmen dan tanggungjawab mereka yang mengamalkan prinsip perniagaan moden berlandaskan etika Islam, sekali gus menjadi inspirasi kepada usahawan lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Program bantu selebriti berjaya julang mStar sebagai penerima ‘IDEA Award 2025’
Antara penerima anugerah adalah jenama yang tidak asing lagi dalam industri pelancongan khususnya dalam pengurusan jemaah umrah dan haji, Andalusia Travel and Tour Sdn Bhd; penyedia perkhidmatan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah, EZ Qurban; syarikat pengeluar dan pengedar beras terkemuka di Malaysia, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd dan pencetus trend kudapan bijirin choco-tub, Nims Adeliciousz Sdn Bhd.
Jenama lain yang mendapat pengiktirafan adalah Ajinomoto Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Sdb Bhd, Sugarbomb Worldwide Sdn Bhd, Delima Oil Products, Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd dan She Dazzle Empire Sdn Bhd dan banyak lagi.
Jenama antarabangsa iaitu Muslim Pro (Singapura), Human Appeal International (Australia) dan ZTE (China) turut mendapat pengiktirafan masing-masing menerusi kategori Distinguished Halal Brand Award, Distinguished Humanitarian Brand Award dan Distinguished Quality Product Award.
Portal mStar menerima Anugerah Pemerkasaan Komuniti (Distinguished Community Empowerment Award).
Sementara itu, portal berkonsepkan hiburan dan gaya hidup iaitu mStar diumumkan sebagai penerima kategori Anugerah Pemerkasaan Komuniti (Distinguished Community Empowerment Award) kerana kejayaannya menerbitkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu mStar Baek sejak tiga tahun lalu.
IDEA 2025 berlangsung di Hotel Le Meridien Putrajaya, dianjurkan oleh KNKV Group dan diiktiraf oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders dengan sokongan CTOS Data System, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta Yayasan Mihrab.
Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Profesor (Adj) Adam Richman berkata, penganjuran kali ini bukan semata-mata untuk meraikan kejayaan syarikat tetapi untuk menginspirasikan lebih banyak perniagaan agar berani mengamalkan prinsip syariah dalam operasi harian mereka.
Adam Richman menyampaikan ucapan pada IDEA 2025.
"Contohnya, penggunaan CTOS dalam proses penjurian adalah selari dengan konsep tabayyun yang disebut dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6, satu langkah kecil yang membawa impak besar kepada pembentukan ekonomi ummah yang berintegriti," katanya.
Turut hadir, Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Yang Amat Mulia Tunku Datuk Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Majlis gilang gemilang ini turut diserikan dengan nyanyian artis tempatan iaitu Roy (Ratnaku) dan Fazli Zainal.


