suria

Buang tabiat ini lepas cuci baju jika sayang mesin basuh... Lama-kelamaan komponen dalam cair!

Hairul menunjukkan keadaan PCB board mesin basuh yang sudah rosak.

TAHUKAN anda, amalan membiarkan suis mesin basuh tetap menyala selepas digunakan boleh menyebabkan kerosakan serius pada komponen dalaman jentera itu?

Perkara itu dikongsikan seorang pakar membaiki mesin basuh dan peti sejuk dikenali sebagai Hairul Vcool dengan menunjukkan bagaimana bahagian dalam Programmable Circuit Board (PCB) board mesin basuh boleh rosak akibat tabiat ini.

Menerusi sebuah video yang dikongsinya, kelihatan keadaan dalam PCB board mesin basuh dipenuhi cecair berwarna coklat.

"Kenapa boleh jadi macam ni? Ini disebabkan selepas menggunakan mesin basuh, ramai yang tak tutup suis. Tak perlu pun cabut plug, cukup sekadar menutup suis," katanya.

Hairul berkongsi tip tersebut menerusi hantaran di TikTok.

Tambahnya lagi, apabila suis dibiarkan dalam keadaan hidup, arus elektrik akan terus mengalir ke dalam PCB board menyebabkan ia cepat rosak dan mencair.

Malah bil elektrik juga akan terus berjalan tanpa disedari.

Justeru Hairul menasihatkan pengguna supaya sentiasa menutup suis selepas menggunakan mesin basuh bagi memastikan ia tahan lebih lama dan dapat menjimatkan penggunaan elektrik.

Untuk makluman, PCB board merupakan komponen utama yang mengawal pelbagai fungsi dalam mesin basuh.

Menjaga komponen ini dengan baik boleh mengelakkan kos pembaikan yang tinggi pada masa akan datang.

Jadi, mulai hari ini marilah kita sama-sama ubah tabiat dan pastikan suis mesin basuh ditutup selepas digunakan.

Artikel Lain