LIF merupakan prasarana yang disediakan untuk orang ramai untuk naik dan turun di bangunan tinggi. Tetapi tahukah anda bahawa ada beberapa langkah keselamatan yang perlu dipatuhi? Salah satu peraturan penting ialah tidak berlari atau melompat ketika berada di dalam lif. Bukan sahaja boleh mengganggu keseimbangan, malah ia juga boleh menjejaskan fungsi sensor keselamatan lif. Tangkap layar video tular di Instagram. Sensor keselamatan dalam lif Lif moden dilengkapi dengan pelbagai sensor bagi memastikan keselamatan pengguna seperti wire tension safety atau sensor ketegangan kabel keselamatan. Sensor ini berfungsi untuk mengesan ketegangan pada tali penyangga lif. Jika terdapat sebarang perubahan luar biasa seperti peregangan pada tali, sistem lif akan segera dimatikan dan paparan ralat (eror) akan muncul pada skrin lif. Bahaya melompat di dalam lif Sebelum ini, tular satu video di media sosial menunjukkan seorang individu melompat-lompat ketika berada di dalam lif. Akibat tindakan wanita itu, tali penyangga mengalami peregangan tidak normal menyebabkan sensor keselamatan bertindak balas dan mematikan sistem lif secara serta-merta. Seperti yang dapat kita lihat dalam video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lif berhenti secara tiba-tiba menyebabkan wanita itu jatuh terduduk di lantai. Bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, pastikan anda memasuki lif dengan tenang, berdiri dengan baik dan tidak melakukan pergerakan yang keterlaluan. Jangan ambil mudah peraturan ini dan perlu diingatkan bahawa lif bukan tempat untuk bermain-main atau menunjuk aksi.