suria

Asteroid gergasi dijangka hentam Bumi, perlu ke manusia panik? Ini penjelasan 4 saintis

Asteroid 'pemusnah bandar' dijangka menghentam bumi pada 2032. -Foto buradaki/iStockphoto

ASTEROID bersaiz 100 meter lebar yang dikaitkan dengan impak dahsyat di Rusia pada 1908 kini menjadi perhatian saintis kerana berpotensi menghentam Bumi dalam tempoh kurang 10 tahun.

Dikenali sebagai Asteroid 2024 YR4, objek dalam kategori 'pemusnah bandar' ini dikesan oleh teleskop NASA pada 27 Disember 2024, hanya dua hari selepas ia melintasi Bumi.

Menurut Pusat Kajian Objek Berdekatan Bumi NASA, asteroid ini mempunyai kebarangkalian 1.3 peratus untuk menghentam planet ini pada 22 Disember 2032.

Zon yang berpotensi merangkumi Lautan Pasifik timur, Amerika Selatan Utara, Lautan Atlantik, Afrika, Laut Arab dan Asia Selatan.

Letupan daripada letusan udara bagi 2024 YR4 diramal setara dengan hampir lapan megaton trinitrotoluena (TNT), lebih 500 kali ganda kuasa bom Hiroshima.

Bagaimanapun, profesor dari Curtin University di Australia, Dr Hadrien Devillepois menegaskan bahawa pemerhatian lanjut diperlukan untuk menentukan laluan sebenar asteroid ini.

“Jika ia benar-benar menuju ke Bumi, impaknya mungkin menyamai letupan Tunguska pada 1908, yang meranapkan kawasan hutan luas dan berkemungkinan meragut nyawa,” katanya.

Sementara itu, saintis dari Swinburne University di Melbourne, Dr Evie Kendal menekankan keperluan strategi global bagi menangani ancaman asteroid.

Teknologi pertahanan planet seperti misi DART NASA pada 2022 telah membuktikan keupayaan mengubah laluan asteroid, tetapi persoalan mengenai tanggungjawab global masih belum terjawab.

Profesor Fred Jourdan pula menyatakan bahawa jika ancaman ini serius, langkah untuk menolak atau memusnahkan asteroid perlu bergantung kepada komposisinya.

“Asteroid yang terdiri daripada serpihan tidak boleh 'dialihkan' dengan cara yang sama seperti asteroid yang kukuh,” jelasnya.

Namun, profesor dari University of Southern Queensland, Jonti Horner menenangkan kebimbangan orang ramai.

“Kebanyakan kawasan di Bumi adalah lautan terbuka, jadi jika berlaku hentaman... ia lebih cenderung menghasilkan fenomena cahaya berbanding kemusnahan besar,” katanya.

Saintis menjangkakan pemerhatian seterusnya pada 2028 akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai risiko impak ini.

Jadi buat masa sekarang, dunia hanya boleh menunggu dan terus memantau pergerakan asteroid ini dengan penuh waspada. -9News

Artikel Lain