suria

Cara kenal pasti pasangan sekufu, kena tanya 6 perkara ini sebelum kahwin... Elak menyesal kemudian hari

Terdapat beberapa perkara perlu dipersetujui pasangan sebelum berkahwin. -Gambar hiasan

PERKAHWINAN bukan sekadar tentang cinta dan keserasian, tetapi juga tanggungjawab dan kesefahaman dalam menguruskan kehidupan bersama.

Ramai pasangan terlepas pandang kepentingan membincangkan perkara-perkara asas sebelum melangkah ke alam rumah tangga yang akhirnya boleh menimbulkan konflik dan kekecewaan di kemudian hari.

Menurut seorang pengguna TikTok bernama Zetty, terdapat beberapa soalan perlu ditanya kepada pasangan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Kata Zetty, soalan-soalan tersebut mendapat pengiktirafan daripada pakar terapi bagi memastikan kedua-dua pihak mempunyai pemahaman jelas terhadap hubungan mereka.

1. Persoalan tentang kewangan

"Awak harap saya bayarkan bil bulanan?"

"Awak harapkan saya bantu dari segi kewangan?"

"Awak nak saya bayar 50-50 (separuh) ke untuk semua komitmen?"

Soalan ini penting kerana isu kewangan sering menjadi punca utama pertelingkahan dalam perkahwinan.

Dengan memahami jangkaan pasangan terhadap pembahagian kewangan, ia dapat mengelakkan salah faham dan tekanan ekonomi pada masa hadapan.

Mencari pasangan yang sekufu adalah penting dalam hubungan. -Gambar hiasan

2. Cara menghadapi emosi

"Kalau awak bersedih, nak cakap pasal benda tu atau bersendirian?"

Memahami keperluan pasangan dalam situasi ini dapat membantu dalam memberikan sokongan tepat terutama dari segi emosi.

3. Penglibatan keluarga dalam rumah tangga

"Awak okey ke kalau keluarga masuk campur dalam rumah tangga kita?"

Batasan antara pasangan dan keluarga mertua perlu dibincangkan agar tidak timbul konflik di kemudian hari mengenai campur tangan dalam urusan rumah tangga.

4. Pengurusan kewangan dan hutang

"Macam mana awak urus kewangan?"

"Ada hutang tak sekarang? Kalau ada, kongsi dengan saya."

Kejujuran dalam hal kewangan amat penting kerana ia boleh memberi kesan kepada kehidupan bersama dengan mengetahui status kewangan pasangan.

Berkongsi mengenai status kewangan kedua-dua pihak penting untuk merancang masa depan dengan lebih baik.

Kewangan pasangan perlu ditanya kerana ia memberi kesan kepada kehidupan bersama. -Gambar hiasan

5. Pembahagian tanggungjawab dalam rumah

"Apa pandangan tentang berkongsi tanggungjawab dan sama-sama buat kerja dalam rumah? Awak nak saya buat seorang atau akan tolong?"

Pembahagian kerja rumah boleh menjadi isu sensitif jika tidak dibincangkan lebih awal.

Adakah pasangan bersedia untuk sama-sama memikul tanggungjawab atau hanya mengharapkan satu pihak sahaja yang menguruskan rumah tangga?

6. Bahasa cinta (Love language)

"Apa love language awak? Macam mana awak harapkan saya tunjukkan kasih sayang?"

"Macam mana cara awak nak saya faham cara awak tunjuk kasih sayang tu?"

Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan dan menerima kasih sayang.

Dengan memahami ‘love language’ pasangan, ia dapat membantu setiap pasangan untuk membina hubungan yang lebih harmoni dan bermakna.

Bertanya soalan-soalan ini sebelum berkahwin bukanlah untuk menimbulkan keraguan.

Sebaliknya, melalui cara ini lebih kepada memastikan kedua-dua pihak mempunyai pemahaman yang jelas mengenai jangkaan dan pendapat masing-masing.

Artikel Lain