suria

Kaji selidik mStar dapati 58 peratus berasa sunyi sejak PKP... Pelajar, suami isteri paling terkesan - “Kami mahu kembali ke sekolah, tinggal serumah tapi tak bercakap”

Sebanyak 58 peratus memberitahu mereka berasa sunyi sejak PKP dilaksanakan.

SEJAK kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 8 Mac lalu bagi membendung penularan virus Covid-19, kita perlu duduk di rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

Meskipun kini negara dalam proses pemulihan daripada wabak itu namun peningkatan kes gelombang ketiga sejak September lalu telah membuatkan ramai daripada kita resah wabak itu tidak dapat dibendung.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada hubungan positif antara permainan video dengan kesihatan mental tatkala Covid-19, ketahui bagaimana

Keputusan kerajaan memperkenalkan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali di Perlis, Pahang dan Kelantan sedikit sebanyak mengundang resah walaupun syarat PKPB tidak terlalu ketat.

Pun begitu menerusi undian yang dilakukan mStar di Instagram, 58 peratus mengakui berasa sunyi apabila terpaksa menghabiskan banyak masa di rumah, manakala 42 peratus yang lain berpendapat situasi semasa tidak memberi kesan kepada kesihatan mental mereka.



Ramai yang ingin kembali ke sekolah.

Golongan paling terkesan adalah pelajar sekolah yang rata-rata memberitahu mereka berasa sunyi kerana tidak banyak perkara dapat dilakukan di rumah meskipun masih dapat belajar secara dalam talian.

Ramai berpendapat belajar secara dalam talian masih mempunyai banyak kelemahan termasuk fokus terganggu disebabkan capaian Internet tidak stabil, bunyi bising serta faktor lain seperti berasa tidak semangat dan gangguan lain di rumah.

Rata-rata juga berharap sekolah dapat dibuka kembali terutamanya kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Rasanya dah tiada apa yang boleh dilakukan lagi dirumah. Nak tengok Instagram, semua dah tengok. Sampaikan semua darama Korea sudah khatam! Jadi kebanyakan masa hanya buat kerja sekolah.

"Memang rasa bosan dan sunyi. Kalau dapat ke sekolah, boleh jumpa rakan-rakan, guru dan belajar pun lebih bersemangat," komen salah seorang pengikut mStar.



Antara punca rasa sunyi adalah disebabkan masalah perhubungan.

Sementara itu, ada pula memberitahu perasaan sunyi sepanjang Covid-19 itu melanda disebabkan terpaksa berjauhan dengan insan tersayang yang tinggal berasingan selain tidak dapat merentas negeri.

Malah ada juga menyifatkan PKP dan penyebaran wabak ini telah memberi kesan kepada rumah tangga mereka.

"Sunyi sangat... Sejak PKP saya dan isteri berjauhan dan hubungan kami pula tidak berapa baik ketika ini. Masing-masing mengambil masa untuk tenangkan diri. Doakan kami agar dapat mengharungi cabaran dan dugaan ini," kata salah seorang pengikut mStar yang lain.

Tidak hanya yang berjauhan, pasangan suami-isteri yang 'terperangkap' di dalam rumah setiap hari juga mula berhadapan dengan masalah seperti tiada komunikasi, bertengkar serta lebih banyak buat hal masing-masing.

Selain itu, ada pula terpaksa berhadapan dengan situasi ditinggalkan kekasih hanya gara-gara sudah lama tidak bertemu dan menjadikan ia alasan untuk berpisah.

"Memang rasa sunyi dan tertekan! Sudahlah ditinggalkan, nak keluar rumah bersemuka pun tak boleh. Jadi mahu tak mahu, terpaksa terima dan reda sahaja. Pasti ada hikmahnya," kata salah seorang pengikut mStar.

Dalam kaji selidik sama, selain pelajar berasa sunyi kerana tidak dapat ke sekolah dan pasangan mengalami masalah rumah tangga, penyebab rasa sunyi lain yang dikongsi pengikut mStar adalah disebabkan kehilangan pekerjaan.

Biarpun reda dengan keputusan majikan namun ia sedikit sebanyak menggangu kesihatan mental mereka kerana sukar mendapat pekerjaan baharu ditambah peningkatan kes Covid-19 dan PKPB yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kaji selidik, mStar, pkp, pkpb, covid-19

Artikel Berkaitan

Artikel Lain