suria

Serendah RM25, kempen haiwan angkat Zoo Negara perlu sokongan anda... Jom bantu Panjang, Simba dan Kayla!

Harimau bintang dikenali sebagai Panjang dan Samba (singa) antara haiwan yang boleh dijadikan haiwan angkat di Zoo Negara.

MELIHAT wajah Kayla (Harimau Malaya), Mango (beruang), Romeo (rakun) dan Panjang (harimau bintang) yang dimuat naik di laman web Zoo Negara memang nampak menggerunkan tetapi timbul juga rasa kasihan dengan nasib yang menimpa mereka ketika ini.

Mana tidaknya, pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat tetapi hidupan lain termasuk haiwan yang ditempatkan di zoo.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terkejut, makan rumput bantu si bulus atasi stres... dapat beri ketenangan!

Zoo Negara yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpaksa ditutup kepada awam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai salah satu usaha membendung penularan virus tersebut ditempat awam.



Choki dan White Tiger.

Situasi itu telah menyebabkan pihak pengurusan mengalami kesukaran untuk membeli bekalan makanan buat haiwan yang ditempatkan di sana memandangkan sebahagian pendapatan Zoo Negara datang daripada penjualan tiket masuk oleh pengunjung.

Pihak Zoo Negara juga memerlukan hampir RM1 juta setiap bulan bagi membeli makanan serta ubat-ubatan selain kos pengurusan haiwan.

Sebagai inisiatif mengumpul dana daripada orang ramai, Zoo Negara memperkenalkan kempen haiwan angkat sebagai usaha membela nasib semua haiwan di situ supaya ia dapat meneruskan hidup dalam situasi sukar ketika ini.

Menerusi kempen ini, orang ramai boleh memilih sama ada mahu memberi sumbangan secara one off (sekali sumbangan) atau secara bulanan mengikut pakej ditetapkan serendah RM25.



Dash dan Miko juga boleh dijadikan haiwan angkat.

Penyumbang juga boleh memilih haiwan kegemaran mereka sebagai haiwan angkat seperti Omi, seekor lemur, rakun yang namanya Romeo, Kayla (Harimau Malaya), Sibol (gajah), Panjang (harimau bintang), Miko (kucing hutan), Mango (beruang) dan sebagainya.

Mereka yang memberi sumbangan akan dihadiahkan e-sijil yang akan turut dicatatkan dengan nama haiwan yang dipilih, malah nama mereka juga akan dipamerkan di laman web Zoo Negara.

"Ambil haiwan angkat atau taja haiwan-haiwan di sini untuk memastikan hidupan liar kita terjaga, dan anda boleh lakukan semuanya di rumah sahaja," itu kenyataan yang dipetik di akaun Facebook Zoo Negara.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Zoo Negara di talian 03-4108 3422 atau melayari laman web Zoo Negara atau menerusi emel di [email protected].

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain