suria

Kawood kebangkitan 3 sahabat selepas sekelip mata hilang pekerjaan - “Apabila kehilangan kerja, kita kena buang ego”

Tiga sahabat (dari kiri) Nooradzrene Mohd Noor, Mohd Hafiz Johari dan Abdul Razak Latif memulakan perniagaan Kawood selepas dibuang kerja pada Oktober 2019. Foto The Star/AZHAR MAHFOF

TIGA sahabat baik, Mohd Hafiz Johari, Nooradzrene Mohd Noor dan Abdul Razak Latif menubuhkan Kawood iaitu sebuah perniagaan pembuatan perabot sejak Jun tahun lalu ketika negara sedang dilanda pandemik.

Bengkel yang terletak di Kampung Dato Tatah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu disifatkan sebagai penyelamat dan lembaran baharu dalam hidup mereka selepas kehilangan kerja lapan bulan sebelumnya.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini bergelar jurugambar di salah sebuah akhbar terkenal - ia juga pekerjaan pertama mereka selepas menamatkan pengajian di universiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka hobi permainan Lego sejak kecil kini kerjaya Muhammad Khairul... paling bangga 150,000 Lego hargai frontliners - “Seronok lihat idea saya diubah jadi produk nyata”

"Bergelar seorang jurugambar memang memberi pengalaman berharga dan menyeronokkan. Kami dapat bertemu pelbagai orang - daripada perdana menteri, selebriti, atlet dan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai cerita menarik di sebaliknya.

"Tugas ini juga membawa kami ke pelbagai tempat sehinggalah Oktober 2019, apabila kami tiba di pejabat, pihak pengurusan mengumumkan syarikat akan ditutup... dalam tempoh dua hari!



Hafiz dan Bob sedang menyiapkan tempahan pelanggan di bengkel mereka yang terletak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

"Memang kami terkejut. Tiada pampasan diberikan. Malah, gaji kami tidak dibayar selama dua bulan sebelum itu," cerita Abdul Razak, 35 kepada The Star.

Tambahnya, setiap hari apabila bangun dan sebelum tidur, fikirannya tidak terhenti memikirkan bagaimana hendak menyara keluarganya.

"Saya mempunyai tiga orang anak dan paling bongsu baru berumur empat tahun. Alhamdulillah, isteri masih ada pekerjaan. Saya buat pelbagai kerja namun hasilnya masih tidak mencukupi," tambahnya.

Mohd Hafiz dan Nooradzrene juga dalam situasi sama; mereka membuat pelbagai kerja termasuk sebagai penghantar makanan dan pemandu e-hailing bagi mendapatkan wang.

"Apabila kehilangan kerja, kita kena buang ego. Saya bertanya kepada isteri sama ada dia OK jika saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dia tidak kisah. Ketika itulah saya dapat panggilan daripada dua sahabat saya ini yang mengutarakan idea untuk memulakan perniagaan," kata Nooradzrene yang lebih mesra disapa Bob.

"Kami bermula dengan apa yang ada sahaja. Hanya alat asas daripada simpanan saya dan Bob. Alhamdulillah, kami mendapat pesanan yang konsisten serta dapat membeli alatan yang lebih baik, sedikit demi sedikit setiap bulan.

ABDUL RAZAK LATIF



BEKAS JURUGAMBAR/PEMILIK BERSAMA KAWOOD

Perniagaan perabot bukanlah idea asal, sebaliknya pada asalnya mereka sebenarnya mahu membuka gerai yang menjaul nasi kandar Melayu.

"Bob sangat mahir memasak dan dia sebenarnya pernah membuka sebuah gerai sebelum ini tetapi ia tidak berjaya bertahan," kata Abdul Razak.

Nasib bagai tidak menyebelahi mereka, pada hari mereka berjumpa dengan lokasi sesuai untuk memulakan perniagaan, ia adalah hari sama perdana menteri mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kawood mula dapat perhatian pelanggan

Bagi Mohd Hafiz dan Bob yang memang meminati kerja-kerja pertukangan, mereka mempunyai pengalaman menghasilkan katil, meja atau rak untuk kediaman mereka sebelum ini sebagai hobi di waktu lapang.

Sehinggalah pada suatu hari, isteri Mohd Hafiz bertanya sama ada dia boleh membina sebuah rak tanaman untuk meletakkan tanamannya.



Rak meletak tanaman telah membuka rezeki kepada mereka dalam bidang pembuatan perabot.

"Ketika itu saya tak bekerja, jadi saya bersetuju. Saya buat kajian sebelum menghasilkan rak itu. Isteri Abdul Razak juga mahukan rak sama.

"Apabila mereka memuat naik gambar rak tersebut di Instagram, tiba-tiba perminataan untuk rak sama semakin banyak. Bayangkan dalam tempoh tiga hari, saya dapat sekitar 10 pesanan!" kata Mohd Hafiz, 35.

Bermula saat itulah, Mohd Hafiz berjumpa dua sahabat baiknya itu dan mencadangkan mereka memulakan perniagaan perabot.

"Saya dapat banyak tempahan, saya tahu saya tidak dapat lakukannya sendirian. Saya perlukan pertolongan. Kemudian, saya fikir ini boleh jadi perniagaan kami," katanya.

Pada mulanya, mereka bertiga bekerja dari rumah Hafiz di Pantai Dalam sebelum menyedari bahawa mereka perlukan ruang khas untuk membuat kerja-kerja pertukangan.



Abdul Razak (kiri) bertanggungjawab tentang menerima tempahan dan promosi Kawood.

"Kami bermula dengan apa yang ada sahaja. Hanya alat asas daripada simpanan saya dan Bob. Alhamdulillah, kami mendapat pesanan yang konsisten serta dapat membeli alatan yang lebih baik, sedikit demi sedikit setiap bulan.

"Kami mula memperoleh pendapatan. Pada satu tahap, kami mempunyai 20 ke 30 pesanan sehari dan saya memandu hampir 300km sehari untuk menghantar pesanan di sekitar Lembah Klang.

"Saya tidak mempunyai pengetahuan tentang perkayuan tetapi saya belajar sehingga dapat membantu mereka berdua sekiranya kami mempunyai pesanan yang besar. Tetapi tugas saya mengendalikan operasi; mengambil pesanan, penghantaran, promosi dan pemasaran di media sosial. Itu kepakaran saya," kata Abdul Razak.

Meskipun mereka bermula dengan membuat rak tanaman, namun kini mereka mempunyai 13 produk dalam portfolio mereka selain menerima tempahan khas.

Mereka juga menggabungkan penggunaan logam dalam produk mereka untuk memenuhi permintaan pelanggan yang gemarkan gaya industri.



Ketiga-tiga sahabat ini pernah bergelar jurugambar di sebuah akhbar terkenal.

Ketiga-tiga anak muda ini bercita-cita tinggi untuk meningkatkan perniagaan mereka, namun Abdul Razak memberitahu mereka mengutamakan kejujuran dan kepuasan pelanggan.

"Sekiranya mereka minta kami hasilkan sesuatu perabot yang belum pernah kami hasilkan, kami akan jujur beritahu tak dapat buat kerana belum pernah ada pengalaman menghasilkannya.

"Saya rasa pelanggan akan menghargai kejujuran dan keikhlasan itu dan kami sendiri merendah diri dengan kepercayaan diberikan pelanggan," jelasnya.

Peluang itu ada di mana-mana!

Kehilangan pekeerjaan kata Bob, 39, bukanlah pengakhiran dunia sebaliknya sekiranya seseorang itu sanggup bekerja keras pasti ada sesuatu yang dapat dilakukan sebagai punca rezeki.

Syarat paling mudah kata Bob, seseorang perlu bersedia keluar daripada zon selesa dan melakukan perkara yang tak pernah dilakukan," kata bapa kepada tiga cahaya mata ini.



Abdul Razak akan menghantar sendiri perabot yang siap kepada pelanggan.

Bagi Abdul Razak pula, seseorang itu tidak boleh mudah berasa berpuas hati dalam apa dilakukan sebaliknya perlu sentiasa meningkatkan kemahiran diri untuk lebih berjaya.

Kepelbagaian kemahiran itu kata Abdul Razak dapat digunakan apabila berlaku sesuatu situasi buruk termasuk menjana pendapatan.

"Kadang-kadang pernah juga saya terfikir ketika berada di bengkel dengan debu dan peluh, saya tertanya-tanya bagaimana saya boleh sampai ke tahap ini. Bukan mengeluh, tetapi itu bukan sesuatu yang pernah saya bayangkan.

"Jika kami dapat lakukannya, kenapa tidak orang lain... Banyak perkara yang saya belajar sepanjang tahun lalu dan satu perkaranya adalah rakyat Malaysia cukup menyokong perniagaan kecil," ujarnya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain