KAEDAH jelum merupakan amalan orang dulu-dulu yang biasanya dilakukan bagi menurunkan suhu badan anak kecil yang mengalami demam panas.
Namun kadang kala kaedah ini menjadi punca utama suhu panas anak menjadi semakin tinggi sehingga diserang sawan.
Situasi membahayakan itu berlaku apabila si ibu tidak mengetahui teknik jelum yang sebenar sebaliknya hanya meletakkan kain atau tuala basah terus ke atas kepala dan badan anak.
Turut melakukan perkara sama, wanita dikenali sebagai Norazura berkongsi cerita bagaimana dia ditegur seorang doktor pediatrik ketika melakukan kaedah itu terhadap anaknya yang dirawat di hospital.
"Selama ni, antara yang saya buat ialah kain lembap terus diletakkan di atas badan atau kepala anak.
"Saya sembur air terus ke badan anak kemudian sapu, kononnya akan lebih cepat kebah sebab suhu lebih sejuk.

Ramai ibu bapa yang gemar meletakkan tuala basah pada dahi anak yang mengalami demam panas.
"Tapi saya perasan, anak adakalanya macam menggigil, tangan dan kaki sejuk.
"Semasa anak dimasukkan ke hospital kerana denggi dan bayi dua bulan demam di wad, doktor tegur cara saya jelum," ujarnya di laman Threads.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini, susulan teguran yang dibuat, barulah dia sedar bahawa cara yang dilakukan untuk menurunkan suhu badan anak itu adalah salah.
Wanita ini turut berkongsi teknik yang diajar doktor pediatrik kepadanya.
Untuk maklumat, jelum bermaksud mandi tanpa menyiram sebaliknya menyapu air pada tubuh dan dalam bidang perubatan ia dikenali sebagai tepid sponging.

Termometer adalah alatan penting bagi memantau suhu badan anak yang mengalami demam panas.
1. Basahkan kain lap dengan air suhu bilik.
2. Kemudian perah sampai betul-betul tak ada air.
3. Lap di segala celah dan pelipat anak termasuk seluruh badan.
4. Tak perlu letak kain lap pada badan atau kepala anak sebaliknya kena sentiasa basahkan kain, perah dan lap anak dengan kerap untuk turunkan suhu.
5. Sentiasa pantau suhu dan pastikan anak menyusu dengan kerap walaupun tidak sihat.
6. Pakaikan baju yang sesuai dan kalau cuaca panas atau siang, seeloknya tidak berbaju.


