suria

Wanita minta ibu bapa henti budaya beri 'goodies' di taska, niat baik tapi undang bahaya

'Jajan' antara yang kerap diberikan apabila ibu bapa membuat majlis hari jadi di sekolah anak. -Gambar hiasan

SEORANG ibu meluahkan kebimbangan mengenai budaya pemberian beg cenderahati atau goodies bag berisi makanan di taska, khususnya untuk kanak-kanak di bawah usia tiga tahun.

Menurut wanita itu, anaknya berusia dua tahun pernah menerima beg berisi jeli berkulat, kertas berwarna dengan lidi tajam, glitter serta gula-gula meletup yang semuanya tidak sesuai dan berisiko tinggi.

Katanya, niat ibu bapa lain untuk menggembirakan kanak-kanak memang baik, tetapi tanpa sedar boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak lain. 

"Macam mana kalau dia alergi, tercekik jajan (snek) atau keracunan makanan? Mungkin saya overthinking. Cukuplah taska je yang sediakan makanan.

"Saya rasa ibu bapa lain tak perlu la bazir duit untuk buat. Kalau nak juga, better bagi goodies yang bersesuaian seperti mainan atau buku," kongsinya di Threads.

Pemberian makanan ringan yang tidak sesuai boleh mengakibatkan kanak-kanak tercekik. -Gambar hiasanPemberian makanan ringan yang tidak sesuai boleh mengundang risiko kepada kanak-kanak. -Gambar hiasan

Wanita itu lega apabila taska anaknya mengambil langkah tegas dengan melarang sambutan hari jadi dan pemberian goodies makanan.

"Saya bukannya 'terpaling mak', saya akan rasa bersalah kalau ada budak yang jatuh sakit sebab makanan yang saya jamu.

"Kalau nak, bagi duit kat taska suruh mereka yang sediakan makanan tapi tu la nanti taska pula rasa menyusahkan," katanya. 

Tips penting untuk ibu bapa dan pihak taska

1. Elak makanan berisiko

- Jangan beri makanan yang mudah menyebabkan tercekik.

2. Waspada alahan 

- Kanak-kanak kecil mudah terkena alahan, jadi makanan bukan pilihan selamat untuk goodies.

3. Pilih alternatif selamat

- Gantikan goodies dengan buku kecil, mainan edukasi, alat tulis, atau pelekat yang sesuai umur.

4. Ikut polisi taska 

- Hormati peraturan yang ditetapkan, contohnya larangan goodies makanan.

5. Utamakan keselamatan 

- Jika ingin meraikan, boleh salurkan terus pada taska untuk sediakan makanan terkawal, atau lebih baik simpan bajet untuk aktiviti bersama anak.

Artikel Lain