PLATFORM e-hailing Grab bukan sahaja membantu rakyat mencari pendapatan, malah turut membuka peluang untuk individu daripada latar belakang berbeza berdikari, menyara keluarga dan berbakti kepada masyarakat.
Bagi pemandu dan penghantar Grab, setiap perjalanan merupakan satu bentuk khidmat kepada rakyat yang menghubungkan kehidupan seharian dengan memastikan setiap pesanan tiba dan setiap penumpang selamat.
Bagi mereka, pengalaman sebagai rakan pemandu dan penghantar bukan sahaja membuka peluang rezeki, malah memberi ruang untuk membina semangat serta menyumbang kepada masyarakat.
Orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, Chang Yoon Khim berkata Grab telah memberi kebebasan buat dirinya untuk mencari rezeki dan berdikari.
“Menjadi pemandu Grab sejak tujuh tahun lalu benar-benar mengubah hidup saya. Sebelum ini saya sukar mendapat kerja kerana kekangan komunikasi," kata bapa empat anak itu.
Chang yang bangga menyertai perarakan Hari Kebangsaan berkata dia mahu membawa mesej bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira keupayaan mampu menyumbang kepada negara.

Arina Raimi (kiri) dan Chang Yoon Khim mengakui Grab telah mengubah hidup mereka berdua.
Seorang lagi rakan pemandu, Teong Siew Queen, yang berkerusi roda turut menzahirkan rasa syukur dengan peluang yang diperoleh.
“Grab memberi saya kebebasan dan fleksibiliti, terutama sebagai ibu tunggal. Saya juga bangga menjadi pengadil antarabangsa sukan powerlifting para.
"Peluang menyertai perarakan ini merupakan sesuatu yang bermakna, ia melambangkan keterangkuman rakyat Malaysia,” ujarnya.
Bagi Shanlee Tan Shamsuri Tan, perubahan kerjaya daripada pekerja kilang kepada pemandu Grab sepenuh masa membawa sinar baharu buat keluarganya.
Masnizah (kiri) dan Mohd Kharizan memaklumkan Grab telah mengubah hidup mereka.
“Selepas kilang ditutup pada 2016, saya cuba Grab secara sambilan sebelum bekerja secara sepenuh masa. Grab beri saya peluang cari rezeki dan masa bersama keluarga.
"Malah saya juga dapat bantu pemandu baharu sebagai wakil dalam Rakan Representative Committee (RRC),” katanya yang gembira dipilih menyertai kontinjen Grab pada perarakan tahun ini.
Sementara itu, Arina Raimi Mohmad mengimbas pengalaman pahit selepas diberhentikan kerja dan gagal mengusahakan perniagaan makanan.
“Kereta sering rosak, sewa rumah tertunggak, hidup tidak menentu. Grab ubah semuanya. Kini saya mampu jana pendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan kembali stabil bersama keluarga,” jelasnya.
Bagi Mohd Kharizan Md Yusof, pemandu Grab sejak 2015, pandemik menjadi titik perubahan besar selepas diberhentikan kerja sebagai jurutera.
“Saya nekad teruskan dengan Grab sepenuh masa. Walaupun ada cabaran, Grab sentiasa membantu. Purata pendapatan saya RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.
"Yang penting, saya ada masa urus keluarga, komuniti dan menjaga ibu yang perlukan dialisis,” katanya.

Shanlee Tan (kiri) dan Teong Siew Queen bersyukur dengan peluang yang diberikan Grab.
Kisah pengorbanan turut dikongsi Masnizah Marzukir, penunggang GrabFood yang menyara tujuh anak sebagai ibu tunggal.
“Fleksibiliti Grab sangat bermakna buat saya. Saya boleh atur masa untuk keluarga dan masih mampu bekerja. Malah dua anak saya juga turut sertai GrabFood.
"Tahun ini saya bangga menyertai kontinjen perarakan kerana ia cara saya zahirkan kesyukuran atas perpaduan dan keamanan negara,” katanya.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ini, kisah-kisah wira Grab membuktikan bahawa di sebalik cabaran hidup, rakyat Malaysia mampu bangkit dengan semangat kental menjadikan Merdeka bukan sekadar perayaan, tetapi juga lambang harapan dan kebersamaan.
Grab Malaysia akan turut serta dalam Perarakan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya pada 31 Ogos ini, selain di beberapa lokasi lain termasuk Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuantan dan Pulau Pinang.
Penyertaan tersebut melibatkan rakan pemandu, rakan penghantar serta kakitangan Grab Malaysia, GXBank dan Jaya Grocer bagi menonjolkan semangat inovasi serta komuniti yang menjadi nadi kepada platform berkenaan.
Selain perarakan, Grab Malaysia turut menyediakan reruai khas di Putrajaya yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, termasuk cabutan bertuah, pemberian barangan eksklusif dan baucar.


