SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun menjadi mangsa gangguan seksual di sebuah pusat beli-belah pada Ahad.
Menurut wanita yang menjadi saksi kejadian itu, seorang lelaki tidak dikenali cuba mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak tersebut yang berada di luar tandas tanpa pengawasan orang dewasa.
Katanya, kanak-kanak itu ditinggalkan sendirian sementara bapanya ke tandas kerana sakit perut.
"Budak perempuan tu lawa, berkulit cerah, rambut curl dan pakai croptop serta skirt denim. Dia duduk di kerusi luar tandas.
"Kemudian ada seorang lelaki datang dan tanya budak tu... dik, kenapa duduk seorang, ayah mana? Budak tu cakap la papa pergi toilet.
"Tiba-tiba je aku tengok tangan dia pegang dan gosok-gosok paha budak tu," kongsinya di Threads.
Meninggalkan anak bersendirian boleh mengundang pedofil. -Gambar hiasan
Melihat situasi berkenaan, wanita itu terus menjerit ke arah lelaki tersebut.
"Aku jerkah terus. Kau buat apa kat paha budak tu, sesuka hati pegang anak orang!
"Suara aku bergetar tau masa tu dan laki tu terus cabut lari. Aku ambil budak tu duduk dekat aku," katanya.
Tambahnya, jeritan yang kuat itu menyebabkan suaminya yang turut berada di dalam tandas bergegas keluar untuk mengetahui punca berlakunya kekecohan.
"Kemudian kira-kira 10 minit lepas tu baru ayahnya keluar. Aku cerita semua siap tanya mana isteri dia. Dia cakap... isteri shopping kat dalam pasar raya tadi tak tahu mana pergi dah.
"Aku cakap nak laporkan kejadian tu sebab dekat tempat tu ada kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Susulan insiden itu, dia berharap sesiapa yang mempunyai anak perempuan walaupun belum akil baligh perlu dielakkan daripada dipakaikan skirt pendek atas daripada paras lutut.
"Nak berfesyen boleh, tapi jangan la tak cukup kain," katanya yang bimbang dengan isu pedofilia dalam kalangan masyarakat.
Wanita itu berharap perkongsian itu menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang lain untuk lebih berhati-hati.
Pengajaran untuk ibu bapa:
- Jangan tinggalkan anak kecil sendirian walau sekejap di tempat awam tanpa pengawasan.
- Ajar anak supaya menjerit atau meminta tolong jika ada individu tidak dikenali cuba menyentuh mereka.
- Pakaikan anak dengan pakaian yang lebih selamat, contohnya legging atau seluar di bawah skirt/dress.
- Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kerana pedofil boleh wujud di mana-mana tanpa disangka.
- Segera buat laporan kepada pihak keselamatan atau pengurusan jika ada insiden mencurigakan.


