suria

[V] Budak 4 tahun maut, lebih 1kg cacing ditemui dalam tubuh... Ketahui cara cegah, langkah jika anak dijangkiti

Raya maut pada 22 Julai lalu dengan ribuan ekor cacing ditemui dalam tubuhnya.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas tubuhnya dipenuhi cacing dengan anggaran berat lebih satu kilogram (kg).

Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Raya terdahulu berada dalam pemantauan klinik kesihatan kerana berstatus Bawah Garis Merah (BGM) yang merujuk kepada masalah kekurangan zat makanan.

Raya dilaporkan kerap hadir ke klinik bagi tujuan pemantauan berat badan dan dia juga pernah menerima program makanan tambahan selama dua bulan oleh kerajaan.

Selain itu, Raya turut didaftarkan sebagai penerima ubat cacing berkala setiap enam bulan, pada Februari dan Ogos.

Kejadian dilaporkan berlaku di Desa Kabandungan, Kabupaten Sukabumi di Indonesia.

Namun, usaha merujuk Raya ke pusat kesihatan untuk konsultasi pemakanan tidak mendapat persetujuan keluarganya.

Kes ini mencetuskan kejutan ramai selepas video [Tonton Video] keadaan Raya di hospital tersebar di media sosial, memperlihatkan tubuhnya mengeluarkan banyak cacing.

Ketua Pasukan Pengendalian Aduan dan Perhubungan Awam RSUD R Syamsudin SH, Dr Irfanugraha Triputra, berkata jumlah cacing yang dikeluarkan daripada tubuh Raya dianggarkan melebihi 1 kg.

"Raya mula dirawat di hospital pada 13 Julai dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai akibat komplikasi jangkitan tuberkulosis serta serangan cacing.

“Awalnya dikesan melalui hidung dengan cacing sepanjang 15cm, kemudian juga keluar melalui najis ketika rawatan. Kami mengesyaki faktor TB dan jangkitan cacing menjadi punca dia tidak sedarkan diri,” jelasnya.

Selepas hampir 10 hari dirawat, Raya akhirnya meninggal dunia pada 22 Julai 2025.

Sakit perut antara tanda-tanda dijangkiti cacing. -Gambar hiasanSakit perut antara tanda-tanda dijangkiti cacing. -Gambar hiasan

Cara mencegah jangkitan cacing pada kanak-kanak

1. Amalan kebersihan diri

- Basuh tangan dengan sabun setiap kali sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.

- Ajarkan anak supaya tidak memasukkan jari atau benda kotor ke dalam mulut.

2. Potong kuku secara berkala

- Pastikan kuku anak sentiasa pendek dan bersih kerana telur cacing mudah tersimpan di bawah kuku.

3. Makanan dan minuman bersih

- Pastikan makanan dimasak dengan sempurna.

- Elakkan air mentah, hanya beri anak minum air yang dimasak atau bersih.

4. Kebersihan persekitaran

- Sentiasa bersihkan tandas, bilik mandi dan kawasan tempat bermain kanak-kanak.

- Buang sampah dengan betul bagi mengelakkan pencemaran.

5. Elakkan berkaki ayam di luar

- Jangan biarkan anak berjalan tanpa kasut di kawasan tanah atau berpasir yang mungkin tercemar najis.

6. Ubat cacing berkala

- Berikan ubat cacing setiap enam bulan seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan.

- Ubat boleh diperoleh di klinik kerajaan dan farmasi.

Langkah-langkah jika anak dijangkiti cacing

1. Kenali tanda-tanda awal

- Anak selalu sakit perut, hilang selera makan, muntah, cirit-birit, gatal di dubur, atau berat badan tidak naik.

- Kadangkala cacing kelihatan keluar melalui najis atau muntah.

2. Segera dapatkan rawatan

- Bawa anak ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut.

- Doktor akan memberikan ubat anti-cacing mengikut dos sesuai dengan umur dan berat badan anak.

3. Pantau pemakanan anak

- Pastikan anak mendapat nutrisi mencukupi (susu, telur, sayuran, buah) kerana kekurangan zat makanan melemahkan imun badan dan meningkatkan risiko jangkitan.

4. Ikuti nasihat doktor 

- Jika disarankan berjumpa pakar pemakanan atau doktor pakar, jangan menolak rawatan kerana kelewatan boleh membahayakan nyawa.

5. Pantau anak selepas rawatan

- Perhatikan kesan ubat dan pastikan rawatan diulang sekiranya doktor menjadualkan dos tambahan.

Artikel Lain