SEORANG lelaki berkongsi pengalaman tentang perubahan gaya hidup sihat yang berjaya menurunkan bacaan kolesterol dirinya dalam tempoh dua bulan.
Menurut lelaki itu, keputusan pemeriksaan perubatan sebelum ini menunjukkan tahap kolesterol melebihi 8 mmol/L, iaitu bacaan yang cukup tinggi.
Selain itu dia turut mengalami simptom kebas-kebas pada hujung jari, yang dianggap satu tanda amaran yang membimbangkan.
"Bagi mengatasi masalah itu, saya mengambil langkah berdisiplin dengan mengamalkan 'brisk walk' atau berjalan laju sejauh 7,000 langkah setiap pagi.
"Selain saya juga berhenti mengambil minuman bergula, serta meninggalkan tabiat makan lewat malam seperti roti canai dan burger," katanya.
Pengambilan serat membantu menyerap kolesterol dalam darah. -Gambar hiasan
Dia turut mengubah pola pemakanan dengan tidak mengambil sarapan pagi, hanya makan separuh nasi pada tengah hari serta berpuasa makan pada waktu malam.
Lelaki itu juga menjadikan minyak zaitun sebahagian daripada amalan hariannya.
“Alhamdulillah kini bacaan kolesterol saya sudah turun bawah 6 mmol/L. Badan rasa lebih sihat, mood makin baik.
"InsyaAllah target untuk lebih sihat akan diteruskan,” katanya.
Tambahnya, aktiviti brisk walk kini menjadi rutin yang menyeronokkan kerana memberikan kesan positif terhadap kesihatan fizikal dan mental.
Kaedah mengawal kolesterol tanpa bergantung sepenuhnya pada ubat:
1. Aktiviti fizikal konsisten
- Brisk walk, joging ringan atau berbasikal 30 minit sehari mampu meningkatkan kolesterol baik (HDL) dan menurunkan kolesterol jahat (LDL).
2. Kawal pemakanan
- Kurangkan makanan bergoreng, lemak tepu, santan berlebihan serta makanan segera.
3. Minuman tanpa gula
- Air kosong, teh hijau atau kopi tanpa gula lebih baik untuk kesihatan jantung.
4. Pengambilan serat
- Sayur-sayuran hijau, buah-buahan, oat dan kekacang membantu menyerap kolesterol dalam darah.
5. Minyak sihat
- Minyak zaitun, minyak canola atau avokado boleh menggantikan minyak masak biasa.
6. Berhenti merokok dan kurangkan alkohol
- Dua tabiat ini terbukti meningkatkan risiko penyakit jantung.


