suria

Mak ayah cepat rasa bersalah anak mengeluh bosan, wanita kongsi pengalaman didik si kecil tanpa skrin

Pendedahan gajet secara berlebihan kepada anak boleh memberi kesan negatif. -Gambar hiasan

DALAM zaman serba digital, mengawal pendedahan anak kepada skrin bukanlah tugas mudah. 

Namun seorang ibu berkongsi pendekatan jujur dan realistik dalam membesarkan tiga anaknya tanpa pendedahan awal kepada gajet.

Wanita itu bagaimanapun mengakui kaedah itu mungkin tidak berkesan sepenuhnya terhadap semua kanak-kanak tetapi ia masih mampu meminimakan pendedahan terhadap skrin.

"Tak mudah nak urus anak hidup tanpa gajet bila kita sendiri melekat dengan gajet sebab terpaksa kerana komitmen kerja, komunikasi dan sebagainya.

"Bila kita sendiri dah ketagih dengan selesanya tak diganggu anak, maka gajet jadi medium shortcut.

"Sebab apa? Sebab saya dah pernah merasa berada di tempat tu," kongsinya di media sosial.

Dia menegaskan bahawa keluarganya bukan menolak gajet sepenuhnya, sebaliknya memilih untuk menangguhkan pendedahan skrin sehingga anak-anak lebih bersedia dari segi emosi dan perkembangan.

Menurutnya, pada mulanya dia memperkenalkan kartun kepada anak sulung ketika berusia lima bulan, tetapi selepas membaca perkongsian daripada pakar psikologi pendidikan, dia terus menghentikan amalan itu.

“Bermula dari situ, anak-anak saya hidup tanpa skrin termasuk televisyen. Semua bermain secara self directed play,” katanya.

Dia tidak membeli banyak mainan kerana lebih mengutamakan buku sebagai medium pembelajaran.

Selain itu, anak-anak turut dibiasakan dengan aktiviti luar seperti berkelah, berkhemah dan bermain di sungai sejak bayi berusia lapan bulan.

"Sebagai suri rumah sepenuh masa, saya mengamalkan konsep baby-led weaning (cerai susu badan), bermain tanpa gangguan orang dewasa serta tanpa aktiviti berstruktur. 

"Sebaliknya, anak-anak didedahkan dengan penceritaan, bacaan buku, perbualan dan aktiviti babywearing," katanya.

Kanak-kanak golongan aktif yang seharusnya dibiarkan bermain dengan pelbagai aktiviti. -Gambar hiasanKanak-kanak golongan aktif seharusnya dibiarkan bermain dan melakukan pelbagai aktiviti. -Gambar hiasan

Berdasarkan pengalaman wanita tersebut, berikut beberapa tip praktikal yang boleh dicuba oleh ibu bapa lain:

1. Ganti dengan aktiviti fizikal atau sensori

- Sediakan permainan yang merangsang kreativiti dan motor halus seperti tanah liat, pasir kinetik, blok bangunan, melukis dan bermain air.

2. Wujudkan rutin harian yang stabil

- Bila anak tahu apa yang dijangka setiap hari (waktu makan, main, tidur), mereka kurang meminta gajet kerana berasa lebih tenang dan selamat.

3. Libatkan anak dalam aktiviti rumah

- Biarkan anak bantu lipat kain, susun pinggan atau menyapu.

- Ia bukan saja menjimatkan masa anda, malah bantu mereka belajar tanggungjawab.

4. Biarkan anak cipta aktiviti sendiri

- Jangan cepat rasa bersalah jika anak kata bosan, biarkan mereka belajar berdikari, berfikir dan cipta aktiviti sendiri.

5. Kurangkan skrin anda sendiri

- Anak belajar melalui pemerhatian, bila mereka lihat kita selalu pegang telefon, mereka akan meniru.

Artikel Lain