BUKAN mudah bagi ibu bapa untuk menerima kenyataan apabila anak tersayang dikaitkan dengan ciri-ciri istimewa dan perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar selepas melalui sesi konsultasi di klinik.
Berdepan situasi sama, seorang ibu meluahkan rasa kecewa apabila doktor mengesyaki anaknya menghidap autisme.
Baginya, penilaian itu yang dibuat dalam tempoh kurang lapan minit adalah tidak wajar, hanya kerana anaknya tidak berpaling apabila dipanggil sebanyak dua kali.
"Doktor syak sebab anak saya tak boleh bercakap banyak, anak tak pandang dan bercakap dengan dia sedangkan dia tak sentuh pun anak saya.
"Dia cakap anak saya aktif semacam, tapi saya cakap yang anak pernah naik kapal terbang yang perjalanan lapan jam dan duduk diam sehingga terima hadiah daripada pramugari," luahnya.

Keputusan skor akan diberikan selepas ibu bapa menjawab kesemua ujian yang diberikan.
Menurut wanita itu lagi, doktor terbabit juga berulang kali menceritakan kisah mengenai keluarga yang enggan mendapatkan rawatan kerana tidak percaya masalah dialami anak.
Perkongsiannya itu membuatkan warga maya berkongsi beberapa info mengenai ciri-ciri anak autisme.
Anda yang ingin mengetahui perkembangan anak sama ada mempunyai ciri-ciri autisme boleh mengikuti ujian M-CHAT-R (Modified Checklist for Autism in Toddlers, Revised) di laman Autisme Speaks ini.


