suria

Pencipta model kongsi visual 3D lokasi kematian Zara Qairina, bantu orang ramai faham penjelasan pakar

Visual yang dihasilkan Muhamad Harris. -Foto Facebook Muhamad Harris Nasril

PENJELASAN  pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu berhubung kemungkinan punca kematian arwah Zara Qairina Mahathir mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Kebanyakannya mula membuat tafsiran dan bayangan berdasarkan penerangan yang dibuat beliau semasa proses inkues berlangsung.

Tambahan pula, Dr. Jessie Hiu turut membuat demonstrasi serta menunjukkan kira-kira 30 keping gambar lawatan dan lakonan semula kejadian sebagai bahan sokongan keterangannya.

Menyedari masyarakat ingin mendapatkan gambaran penjelasan dengan lebih tepat, individu profesional dalam penghasilan model, animasi, dan efek visual tiga dimensi digital, Muhamad Harris Nasril tampil berkongsi lakaran mengikut kefahamannya seperti dijelaskan Dr. Jessie Hiu.

"Ramai yang tak dapat membayangkan apa yang disebut oleh Dr Jessie. 

"Saya modelkan semula tempat kejadian dalam 3D.

"Letak figura manusia mengikut ketinggian arwah Zara, 154 cm dan ketinggian penghadang konkrit koridor beserta palang, 118 cm,  seperti yang dinyatakan Dr Jessie," kongsinya.

Visual ketinggian arwah Zara Qairina dan tembok konkrit. -Foto Facebook Muhamad Harris Nasril

Visual ketinggian arwah Zara Qairina dan tembok konkrit. -Foto Facebook Muhamad Harris Nasril

Menurut Muhamad Harris, visual tersebut dicipta menggunakan perisian 3D Studio Max bagi memberi lebih penjelasan dan gambaran di lokasi kejadian.

Berdasarkan visual model yang dikongsikan, kelihatan gambaran figura manusia berada berhampiran tembok konkrit berkenaan.

Ketinggian arwah Zara Qairina dan tembok tersebut juga digambarkan dengan kewujudan perbezaan jarak 36cm.

Dalam pada itu, dia turut membuat penafian bahawa visual yang dikongsikan hanyalah model 3D untuk tujuan ilustrasi semula berdasarkan kenyataan saksi pakar dan bukan rekonstruksi rasmi mahkamah.

Terdahulu, menerusi hari kedua inkues yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu di Sabah, Dr Jessie Hiu, 58, memaklumkan pandangannya menerusi lakonan semula yang dilakukan dengan bantuan pegawai perubatan Jabatan Forensik HQE, Dr. Lau Cheng yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan arwah.

Walaupun perbezaan ketinggian antara Dr. Cheng (152cm) dan si mati adalah 2 sentimeter (Zara Qairina 154cm) tetapi Dr. Cheng senang untuk memanjat ke tepi (luar) penghadang konkrit dan berdiri di tebing konkrit itu.

Di bahagian atas kepala ada palang besi (suspended grill) yang boleh dipegang ketika berdiri di tebing konkrit itu.

Artikel Lain