MEMELIHARA kucing sememangnya salah satu terapi untuk menghilangkan tekanan ataupun dijadikan sebagai peneman.
Kehadiran si bulus sememangnya menceriakan suasana namun pencinta kucing perlu tahu bahawa haiwan comel ini juga boleh menjadi pembawa penyakit zoonotik yang boleh menular daripada haiwan kepada manusia, seperti jangkitan sporo.
Manusia boleh dijangkiti sporo sekiranya langkah keselamatan tidak diambil ketika mengendalikan kucing yang mempunyai penyakit ini.
Jika diabaikan, ia boleh membawa maut atau kecacatan kekal.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda tercekik tulang maut lepas cuba petua telan nasi, cuka... Ini perkara anda patut dan tak wajar buat
Oleh itu, penting untuk ambil tahu dan kenal pasti apabila berlaku perubahan pada kucing seperti kudis, luka atau bengkak.
Berikut adalah perkongsian daripada Klinik Avicenna mengenai jangkitan sporo sebagai panduan bersama:
Bagaimana jangkitan sporo kepada manusia berlaku?
1. Terkena gigitan atau cakaran kucing berpenyakit sporo.
- Satu gigitan atau cakaran kucing sporo sudah cukup untuk memindahkan fungus sporo ke badan kita.
- Jadi hendaklah berhati-hati semasa menguruskan kucing sporo. Sentiasa ambil langkah mengelak daripada digigit atau dicakar, misalnya menggunakan sarung tangan.
Individu yang mempunyai luka atau berkudis berisiko mendapat jangkitan sporo jika tidak mengendalikan kucing berpenyakit dengan betul.
2. Kulit terbuka bersentuhan kucing sporo.
- Jangkitan boleh berlaku jika kulit kita sudah sedia terbuka (luka) dan bersentuhan dengan anggota haiwan yang terkena penyakit sporo.
- Sentuhan akan menyebabkan fungus sporo masuk ke badan dan berlaku jangkitan. Kulit terbuka mungkin kerana ada luka, kudis atau terguris sebelum menguruskan kucing.
- Oleh itu, tutup luka, kudis atau sebarang bukaan kulit dengan sempurna sebelum menguruskan kucing sporo. Guna plaster yang tidak telap air. Selepas menguruskan kucing, bersihkan badan terlebih dahulu sebelum membuka plaster.
3. Kerap bersentuhan dengan kucing sporo
- Jangkitan juga boleh berlaku jika kerap bersentuhan dengan kucing berpenyakit sporo tanpa mengambil langkah keselamatan.
- Oleh itu, kita elakkan daripada bermanja-manja seperti memeluk, mendokong kucing sporo. Sebaiknya kucing dikurung dan diuruskan dengan kaedah yang betul.
Kucing berpenyakit perlu dirawat dan diasingkan untuk mengelakkan ia menjangkiti haiwan lain dan manusia. -Gambar hiasan
4. Jangkitan melalui pernafasan atau udara
- Jangkitan melalui udara atau pernafasan sangat jarang berlaku, tetapi masih boleh berlaku. Jadi sebaiknya jangan mencium kucing atau tidur bersama kucing berpenyakit sporo.
Paling penting, jangan abaikan sekiranya terkena gigitan atau cakaran kucing kerana dibimbangi si bulus berpenyakit dan berpotensi menyebarkan jangkitan.
Apabila fungus sporo masuk ke badan kita semasa dicakar atau digigit, ia mengambil masa satu atau dua bulan sebelum kesannya ketara dan merebak.
Sebagai pencinta kucing, kita tentunya tidak sanggup melihat haiwan kesayangan kita menderita.
Namun dalam masa yang sama, kesihatan diri sendiri juga perlu diberi keutamaan.
Penyakit seperti sporo bukan sahaja berisiko tinggi untuk haiwan, malah boleh memberi kesan serius kepada manusia jika tidak ditangani dengan segera dan betul.
Oleh itu, langkah pencegahan adalah kunci utama.