suria

Pemuda tercekik tulang maut lepas cuba petua telan nasi, cuka... Ini perkara anda patut dan tak wajar buat

Kes tercekik tulang ikan boleh mengakibatkan komplikasi serius jika tidak ditangani segera. -Gambar hiasan

INSIDEN tercekik tulang ikan mungkin kedengaran biasa atau remeh.

Apa yang pasti kejadian ini boleh membuatkan seseorang itu 'potong' mood untuk makan.

Dalam kes yang serius, ia boleh mengundang komplikasi lebih bahaya.

Seperti mana kes yang dilaporkan pada 12 Mei lalu, seorang lelaki di Henan, China maut selepas mengalami komplikasi serius akibat tertelan tulang ikan berukuran lima sentimeter.

ARTIKEL BERKAITAN: Lucu tapi fakta... Kentut sambil berjalan baik untuk kesihatan, lebih afdal jika selepas makan

Mangsa, Zhang Qiang, 29, dilaporkan mencuba petua tradisional iaitu minum cuka dan menelan nasi bagi menyelamatkan keadaan namun tidak berjaya.

Dia malah muntah darah sehingga dikejarkan ke hospital sebelum doktor mengesahkan tulang ikan itu menembusi esofagus dan aorta torasik, mengakibatkan pendarahan teruk yang akhirnya meragut nyawa.

Kes ini secara tidak langsung menimbulkan trauma kepada orang ramai, apatah lagi yang sering mengamalkan petua tradisional sekiranya berhadapan insiden serupa.

Justeru, apakah memadai dengan hanya menelan nasi atau pisang sebagaimana petua yang 'diperturunkan' sehingga kini?

Ramai mengamalkan petua tradisional sekiranya tercekik tulang. -Gambar hiasan

Menerusi perkongsian di laman klinikterengganu.com, berikut adalah tindakan yang wajar dan tak wajar dilakukan sekiranya tercekik tulang:

1. Jangan masukkan jari ke dalam tekak

Menggunakan jari untuk mengorek tulang yang tersekat adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan lebih teruk. Tindakan ini berisiko membuatkan tulang tertusuk lebih dalam ke dalam tisu tekak.

2. Berhenti makan dan minum

Bertujuan mengelakkan situasi menjadi lebih buruk. Makanan atau minuman boleh menolak tulang lebih jauh ke dalam tekak atau menyebabkan iritasi.

3. Segera pergi ke klinik

Segera berjumpa doktor. Kes tercekik tulang adalah perkara biasa dan doktor sememangnya terlatih untuk membantu mengatasinya. Menunda rawatan boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan atau tulang bergerak ke bahagian lain dalam tekak.

Jika tulang hanya terlekat di kawasan tonsil dan boleh dilihat dengan jelas, doktor biasanya dapat mengeluarkannya tanpa perlu merujuk pakar telinga, hidung, dan tekak (ENT).

Kesimpulannya, hindari sebarang tindakan yang boleh mengundang bahaya, sebaliknya segera bertindak cepat dengan berjumpa doktor agar risiko komplikasi dapat diminimalkan. 

Artikel Lain