suria

Lucu tapi fakta... Kentut sambil berjalan baik untuk kesihatan, lebih afdal jika selepas makan

Berjalan selepas makan didapati mampu membantu pergerakan usus bagi menyingkirkan gas dan mencegah sembelit. -Gambar hiasan

MUNGKIN kedengaran lucu, tetapi tahukah anda bahawa kentut semasa berjalan selepas makan sebenarnya boleh memberi manfaat kepada kesihatan jangka panjang?

Menurut pakar perubatan dalaman di Pusat Kanser Memorial Sloan Kettering, New York City, Dr Tim Tiutan, sedikit aktiviti santai seperti berjalan atau menyapu sampah selepas makan mampu meningkatkan fungsi usus.

"Berjalan selepas makan membantu menggalakkan pergerakan usus. Ini bermaksud, ia membantu pergerakan usus bagi menyingkirkan gas dan mencegah sembelit," ujarnya.

Kenyataan tersebut turut disokong pakar gastroenterologi dari Pusat Perubatan Universiti Washington, Dr Christopher Damman.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak saran pati haruan, gamat... Wanita bersalin czer kongsi pengalaman berpantang, luka cepat sembuh

"Usus memang boleh berfungsi sendiri, tetapi ia berfungsi dengan lebih baik apabila anda turut bergerak.

"Menggerakkan badan akan merangsang dan 'membuka' usus anda," ujarnya.

Sama ada anda selesa membuang angin di luar atau tidak, itu pilihan peribadi masing-masing.

Apa yang penting, usus tetap perlu bergerak dan berfungsi dengan lebih baik.

Pergerakan kecil seperti berjalan atau sekadar menyapu lantai dapat membantu usus berfungsi dengan baik dan mengawal paras gula dalam darah. -Gambar hiasan

Mengawal paras gula dalam darah

Selain membantu sistem penghadaman, berjalan selepas makan juga boleh membantu mengawal paras gula dalam darah. 

Selepas makan, paras gula dalam darah akan meningkat kerana gula daripada makanan memasuki aliran darah. 

Jika seseorang tidak bersarapan, peningkatan ini boleh menjadi lebih ketara ketika makan tengah hari atau malam.

Sekiranya paras gula tidak dikawal, sama ada kerana kekurangan insulin atau rintangan insulin, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti kerosakan mata, masalah buah pinggang dan penyakit jantung, menurut laman Yale Medicine.

"Kajian menunjukkan bahawa senaman ringan sejurus selepas makan boleh memberi manfaat besar dalam mengawal paras gula darah.

"Hanya lima minit berjalan atau aktiviti ringan seperti lompat bicu sudah mencukupi untuk mengurangkan lonjakan gula selepas makan," kata Dr Damman.

Kesimpulannya, bergeraklah selepas makan! Tak perlu bersenam berat, cukup sekadar berjalan perlahan di sekitar rumah. 

Artikel Lain