suria

Rupanya hampir 5 bulan Abang Rock tidur duduk, alami sesak nafas… Isteri kongsi kisah selepas paru-paru penghisap vape tegar ditebuk

Musliha berkongsi gambar ketika menemani arwah suaminya menerima rawatan di hospital.

BAGI pengguna TikTok, pasti anda pernah menonton video yang dimuat naik seorang lelaki memaparkan dia sedang terlantar di wad hospital selepas diserang sesak nafas akibat penggunaan vape, minggu lalu.

Apa yang membuatkan warga maya sebak, lelaki yang dikenali sebagai 'Abang Rock' itu sempat menitipkan pesanan tentang bahaya penggunaan vape sebelum dia akhirnya meninggal dunia kira-kira sembilan hari kemudian.

Video terakhir yang dikongsikan Allahyarham Mohammad Radzi Mustafa, 44, pada 28 April lalu itu meraih lebih 140,000 jumlah tontonan malah masih dibanjiri dengan komen netizen yang menzahirkan ucapan takziah.

Video terakhir yang dikongsikan Allahyarham Mohammad Radzi atau Abang Rock di TikTok.

Tidak keberatan berkongsi cerita, balu arwah iaitu Musliha Eng berkata, video terakhir tersebut dirakam oleh suaminya selepas menjalani pembedahan menebuk paru-paru.

"Arwah sebenarnya menunjukkan masalah kesihatan bermula Disember tahun lalu. Ketika itu, dia tak boleh tidur baring sebab rasa sesak nafas dan kerap batuk. Jadi memang tidur duduk.

"Sejak itu mula keluar masuk hospital. Selepas Aidilfitri baru-baru ni, arwah dimasukkan ke hospital pada 10 April sehinggalah menghembuskan nafas terakhir 7 Mei lalu," ujar wanita berusia 46 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Buah pinggang bocor, tangan dan kaki pun sakit teruk… Doktor cerita pengalaman rawat pemuda aktif, main 4 sukan sehari!

Tambahnya yang juga ibu kepada tujuh cahaya mata, suaminya mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan doktor bahawa fungsi jantungnya hanya sekitar tiga peratus.

"Doktor beritahu, suami sepatutnya ditidurkan tapi dia tak mahu. Jadi doktor sarankan buat pembedahan tebuk paru-paru.

"Mula-mula selepas ditebuk untuk keluarkan cecair, cecair yang keluar berwarna merah. Suami juga batuk berdarah dalam sejam.

"Doktor bagi rawatan kemudian dalam dua, tiga hari baru berubah warna cecair… dah kurang pekat.

"Doktor cakap kalau cecair dah jernih boleh balik. Rupanya dia 'pulang' tapi bukan ke rumah," ceritanya lagi.

Foto kenangan bersama keluarga ketika Aidilfitri tahun sebelumnya, sewaktu Allahyarham masih sihat. 

Tidak menyangka video arwah suaminya mengundang perhatian ramai, Musliha yang menetap di Johor Bahru berkata, sungguhpun masih bersedih namun dia bersyukur ramai yang mendapat manfaat daripada perkongsian berkenaan.

"Asbab daripada video tu, ramai komen kongsi pengalaman masing-masing dan ucap terima kasih kerana memberikan pesanan.

"Sekurang-kurangnya asbab daripada video itu, ramai yang mengambil pengajaran dan menjadi pahala buat arwah.

"Meskipun doktor tak beritahu asbab kematian adalah kerana vape... namun ia melibatkan paru-paru, kita faham ia secara tak langsung berkaitan tabiat tersebut.

"Jangan hisap vape... bahaya! Anak-anak  lelaki saya seramai tiga orang, memang saya tekankan tentang ini. Sama-sama kita ambil iktibar," akhirinya.

Artikel Lain