SETIAP wanita melalui pengalaman kehamilan yang berbeza.
Ada yang melalui tempoh sepanjang sembilan bulan kehamilan dengan lancar, ada juga yang diuji dengan alahan teruk, perubahan emosi atau perubahan fizikal yang ketara.
Namun bagi wanita ini, cabaran buatnya datang dalam bentuk yang lebih terlihat, iaitu seluruh wajahnya berubah gara-gara ditumbuni jerawat selain menggurutu disebabkan perubahan hormon.
Senang disapa sebagai Farah, wanita yang sedang hamil cahaya mata sulung ini berkata, perubahan wajahnya bermula apabila dia menyedari kehadiran jerawat ketika kandungannya berusia sekitar kurang dua bulan.
"Mula-mula saya tak tahu saya pregnant. Saya bangun tidur dan perasan ada je jerawat naik. Saya pakai skincare apa pun tapi tak berkensan.
"Waktu tu saya perasan lambat period, jadi buat pemeriksaan dan doktor sahkan saya hamil. Jadi saya boleh relate situasi tu adalah disebabkan hamil.
Farah bersyukur mendapat sokongan kuat daripada suami ketika melalui ujian ketika hamil.
"Masa kandungan berusia tiga hingga empat bulan, saya perasan smile line nampak macam lebih ke dalam atau nyata. Hidung pun saya perasan dah kembang tapi waktu tu saya rasa okay saja lagi.
"Masa kandungan dah masuk enam bulan, garisan dekat dahi pula makin ketara kerutannya. Saya cuba urut perlahan-lahan untuk cuba hilangkan garisan tu tapi tak 'jalan' juga," ujarnya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah simpati wajah ibu hamil jadi orang tua sebab alahan, wanita ini tak sangka diri sendiri pun terkena - “Mula-mula muka jadi sembab”
Wanita yang berusia 28 tahun ini berkata, perubahan wajahnya semakin ketara bermula usia kandungan tujuh bulan, malah dia mengakui seperti melihat individu lain apabila menatap cermin.
"Ketika itu wajah mula kemerahan seperti kena sunburn, jerawat dan garisan pada wajah pun ketara sehingga saya mengandung lapan bulan sekarang.
"Mungkin nampak teruk tapi ia tak rasa sakit pun... hanya sesekali saja gatal," ujarnya yang menetap di Rawang, Selangor.
Tipu sekiranya mengakui dirinya tidak terkesan dengan apa yang berlaku, namun Farah berkata, dia bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat.
Saya akan mengenakan topeng pelitup muka kerana ada kalanya timbul perasaan insecure.
FARAH
"Saya selalu mengadu pada suami, ibu dan sahabat baik. Saya scroll media sosial, tengok kenapa orang lain mengandung okay je.
"Namun kata-kata mereka akhirnya menenangkan perasaan saya. Apa yang terpapar di media sosial hanya luaran, kita tak tahu struggle masing-masing di sebaliknya.
"Secara perlahan-lahan saya positif. Saya pergi kerja dan keluar macam biasa, cuma saya akan mengenakan topeng pelitup muka kerana ada kalanya timbul perasaan insecure.
"Ini mungkin ujian kecil, namun saya sangat bersyukur, kehamilan berjalan lancar dan saya tiada alahan pun. Alhamdulillah," ujarnya lagi.
Farah berkongsi keadaan kulit wajahnya sebelum mengalami perubahan.
Farah yang tidak menyangka perkongsiannya di media sosial menjadi tular berkata, dia sekadar bertujuan berkongsi pengalaman dan dalam masa yang sama mahu menyebarkan kesedaran kepada orang ramai.
"Saya nak educate, bahawa setiap perjalanan kehamilan adalah berbeza-beza. Selepas saya kongsi, ramai turut share journey masing-masing. Ada yang muntah darah hari-hari ingat kena santau.
"Ramai juga beri kata semangat malah mendoakan saya dan bayi. Bila baca saya sebak, padahal kita tak saling mengenali pun.
"Apa yang boleh saya kongsikan kepada bakal ibu, benda ini sementara saja. Lebih baik kita fokus kepada diri dan baby.
"Paling penting, kena positif dan sokongan yang kuat daripada orang sekelililing. Cukup ada mereka saja, kita pasti mampu melaluinya," akhirinya.