suria

Ramai takut dibedah, kononnya vaksin Covid-19 beri reaksi negatif kepada prosedur anestesia... Ini penjelasan pakar

Anestesia ialah rawatan yang dibuat menerusi pemberian ubat yang dinamakan anestetik untuk mengelakkan pesakit daripada merasai kesakitan ketika menjalani pembedahan atau prosedur perubatan.

KEBELAKANGAN ini negara sedang menyaksikan lonjakan kes Covid-19 dengan wujudnya varian Delta yang lebih mudah berjangkit.

Atas sebab itu, vaksinasi memainkan peranan penting dalam usaha mencapai imuniti kelompok di samping melindungi sesama kita daripada terus dijangkiti virus ini.

Meskipun bermula pada kadar yang perlahan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini mempunyai kadar vaksinasi antara tertinggi di dunia dengan pemberian mencecah 500,000 dos sehari yang direkodkan pada Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak sedar sedang mengalaminya, ketahui apa itu coronasomia!

Pakar Anestesiologi dan Penjagaan Kritikal Hospital ALTY Orthopedic, Dr Mohamad Fadhil Hadi berkata, vaksin dapat melindungi orang ramai daripada dijangkiti lalu menyebarkan virus tersebut, selain berpotensi untuk menghidap penyakit yang serius.

Dr Fadhil Hadi

Pakar Anestesiologi dan Penjagaan Kritikal Hospital ALTY Orthopedic, Dr Mohamad Fadhil Hadi.

"Antara cabaran yang terpaksa dilalui untuk menggiatkan program vaksinasi ini ialah tanggapan negatif daripada warga umum di samping maklumat salah yang sering disebarkan mengenai vaksin, dibelakangi oleh golongan anti vaksin.

"Menurut WHO, risiko berlakunya reaksi negatif yang serius adalah lebih rendah berbanding risiko penyakit berbahaya atau kematian yang disebabkan oleh jangkitan virus Covid-19," katanya.

Sebabnya kata Dr Mohamad Fadhil, vaksin Covid-19 telah dibangunkan menerusi sains dan penyelidikan yang berusia berdekad lamanya dan telah melalui semua peringkat ujian klinikal yang diwajibkan termasuk ujian dan pemantauan ekstensif yang membuktikan bahawa vaksin ini selamat dan berkesan.

Wujudkah risiko yang berkaitan dengan pembedahan selepas memperoleh vaksin Covid-19?

Jelas Dr Mohamad Fadhil, penularan mitos berkaitan dengan pemberian vaksin termasuklah risiko berlakunya reaksi negatif daripada prosedur anestesia, khususnya bagi mereka yang telah di vaksin.

Katanya, kenyataan itu disangkal sepenuhnya oleh Persatuan Pakar Anestesiologi Malaysia dan Kolej Pakar Anestesiologi, Akademi Perubatan Malaysia, dan setakat ini, tiada bukti saintifik dapat mengesahkan mitos tidak berasas ini.

Anestesia ialah rawatan yang dibuat menerusi pemberian ubat yang dinamakan anestetik untuk mengelakkan pesakit daripada merasai kesakitan ketika menjalani pembedahan atau prosedur perubatan.

Pembedahan

Proses anestesia tidak berbahaya selepas mendapat suntikan vaksin.

Terdapat tiga jenis anestesia:

1. Anestesia setempat: Digunakan untuk mengebaskan lokasi kecil yang spesifik pada anggota badan buat sementara waktu ketika pesakit masih sedar.

2. Anestesia sebahagian: Menghalang rasa sakit daripada anggota tubuh yang lebih besar, misalnya anestesia tulang belakang dan saraf.

3. Anestesia am: Menjadikan pesakit tidak sedarkan diri atau “tidur” buat sementara waktu ketika menjalani pembedahan atau sesuatu prosedur. Anestesia am boleh disuntik ke dalam urat atau dihidu oleh pesakit.

Dr Mohamad Fadhil berkata, anestesia dan vaksin Covid-19 beroperasi dalam dua sistem yang berbeza, maka anestesia tidak memberi sebarang kesan ke atas antibodi, sistem imun atau mencetus reaksi terhadap mana-mana vaksin.

Justeru, pesakit boleh menjalani pembedahan menerusi anestesia setempat dengan selamat selepas memperoleh suntikan vaksin Covid-19.

"Malah di ALTY, kami akan menggalakkan pesakit kami untuk melengkapkan dos vaksinasi Covid-19 mereka sebelum menjalani pembedahan kerana risiko berlakunya jangkitan dapat diminimumkan bagi pihak pesakit serta kakitangan kesihatan di hospital," katanya.

Vaksin

Suntikan vaksin dapat melindungi diri daripada virus Covid-19.

Apa yang patut anda lakukan sebelum menjalani pembedahan?

Dr Mohamad Fadhil berkata, jenis anestesia yang akan digunakan lazimnya ditentukan oleh pakar anestesiologi mengikut prosedur yang akan dijalankan.

Mereka akan menentukan kaedah yang terbaik setelah membuat pemeriksaan kesihatan secara teliti di samping memastikan tubuh pesakit bersedia untuk menjalani sebarang prosedur.

"Adalah lebih baik jika pesakit membuat lawatan pra-pembedahan dan merujuk doktor atau pakar anestesiologi masing-masing untuk menjadualkan atau merancang prosedur yang dipilih dengan sewajarnya.

"Ketika sesi ini, saya akan menggalakkan pesakit untuk menunjukkan rekod perubatan mereka, berbincang mengenai pengalaman lampau melibatkan anestesia, dan menjawab sebarang pertanyaan," ujarnya.

Sebagai pakar anestesiologi, Dr Mohamad Fadhil memberitahu akan menasihatkan pesakit saya untuk berehat selama beberapa hari selepas mereka mengambil suntikan vaksin Covid-19, jika ia merupakan kes elektif.

Ini adalah kerana sesetengah pesakit mungkin akan mengalami kesan sampingan seperti demam, sakit otot atau loya selepas vaksinasi, yang lazimnya akan berlaku.

"Bagaimanapun, dalam situasi kecemasan yang misalnya melibatkan isu patah tulang atau kecederaan pada tulang belakang, kami akan menyegerakan prosedur tersebut.

"Orang ramai cenderung untuk merungkai ketidakpastian dengan memperoleh informasi dari platform media sosial. Namun begitu, kita perlu memastikan maklumat yang diperoleh adalah daripada sumber yang boleh dipercayai.

"Anda boleh merujuk doktor anda secara bersemuka atau melalui perkhidmatan telekesihatan bagi mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai perubatan," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain