suria

Ketahui apa itu ‘penyakit jarang jumpa’ dan kesannya

HP berlaku apabila keadaan dinding salur darah arteri pulmonari dan kapilari paru-paru seseorang individu menjadi kecil sehingga menyebabkan berlaku tekanan darah tinggi.

HIPERTENSI Pulmonari (HP), sejenis penyakit tekanan darah yang terjadi ketika salur darah arteri pulmonari dan kapilari di paru-paru menjadi sempit, tersumbat atau rosak.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Dr. Teoh Chee Kiang, HP tergolong sebagai 'penyakit jarang jumpa' dan dianggarkan di seluruh dunia hanya terdapat antara 10 hingga 52 kes dalam setiap sejuta individu.

Di Malaysia, dengan populasi penduduk seramai 32.6 juta, hanya antara 320 dan 1,500 orang yang menghidap HP.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 8 kumpulan berisiko dijangkiti TB, tanpa rawatan nyawa melayang!

Menjelas lanjut, Dr Teoh berkata,  HP berlaku apabila keadaan dinding salur darah arteri pulmonari dan kapilari paru-paru seseorang individu menjadi kecil sehingga menyebabkan berlaku tekanan darah tinggi.

"Fungsi arteri pulmonari ialah membawa darah dari jantung ke paru-paru. Apabila ia semakin mengecil, peraliran darah di arteri tidak dapat berjalan lancar mengakibatkan darah yang membawa oksigen dari jantung ke paru-paru tidak dapat dihantar ke seluruh badan," katanya kepada Bernama.

Katanya, pakar jantung memerlukan masa sekurang-kurangnya 14 bulan untuk mengesahkan sama ada seseorang itu menghidap HP atau tidak.

Itupun setelah individu berkenaan menjalani beberapa ujian seperti imbasan sinar-x pada dada, ekokardiogram, ujian ultrabunyi untuk mengesan degupan jantung dan elektrokardiogram (ECG).

Simpton penyakit HP pesakit cepat penat, rasa sakit dan tidak selesa di bahagian dada. Gambar hiasan.

"Daripada ujian itu, ekokardiogram merupakan ujian paling tepat untuk menunjukkan bahawa seseorang itu menghidapi HP, " katanya.

Beliau berkata, biasanya doktor tidak dapat mengenal pasti HP dengan segera kerana simptom penyakit ini sama dengan penyakit lain misalnya cepat penat, rasa sakit atau tidak selesa di bahagian dada, kerap pitam dan pengsan serta perasaan berdebar-debar yang melampau (palpitations).

Pengalaman pesakit

Ketika berusia kira-kira 19 tahun, Cheah Pih Nyuk, menyedari bahawa beliau cepat berasa penat walaupun hanya melakukan kerja-kerja ringan seperti berjalan kaki dalam jarak dekat.

Doktor yang merawat beliau ketika itu menyarankan agar lebih banyak senaman dilakukan tanpa mengetahui punca kepenatan Cheah.

Namun setelah lebih sedekad lamanya baru diketahui punca masalah pengarah kreatif sebuah syarikat pengiklanan berusia 36 tahun ini apabila doktor mendiagnosisnya mengalami HP.

Keadaan ini mengakibatkan gangguan pada aliran darah dari sisi kanan jantung yang menuju ke paru-paru, bagi membawa oksigen dan disebarkan pada organ dalam badan.

Akibatnya, darah akan sukar mengalir ke paru-paru dan tekanan pada arteri juga meningkat. Seiring peningkatan tekanan tersebut, bahagian kanan jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengalirkan darah ke paru-paru.

Lama-kelamaan, keadaan ini akan menyebabkan otot kanan jantung menjadi lemah dan seterusnya kegagalan jantung boleh berlaku.

Sehingga kini belum ada penawar untuk penyakit HP dan pesakit harus melalui rejim rawatan yang agak mahal.

Doktor memerlukan sekurang-kurangnya 14 bulan untuk mengesahkan penyakit HP.

Ubah cara hidup

Setelah menyedari keadaaan dirinya, Cheah, anak kelahiran Selangor berkata beliau mengubah gaya hidupnya untuk mengatasi masalah penyakit yang dihidapinya dengan lebih baik.

"Saya tahu batasan apabila melakukan aktiviti harian. Untuk memastikan pernafasan saya tetap lancar, saya berjalan dengan perlahan dan mengelakkan diri daripada situasi yang akan membuat saya berasa tertekan," katanya.

Menurut Cheah, pemakanan dan gaya hidup yang sihat menjadi keutamaan buat dirinya kerana senaman yang berintensiti tinggi seperti senaman kardio tidak boleh dilakukan dan hanya menjalankan aktiviti bermeditasi untuk kekal sihat.

"Diet pemakanan harian saya berasaskan makanan kurang kandungan garam dan pengambilan jumlah air juga perlu dikawal kerana jika kandungan air dalam badan banyak, retensi (penyimpanan atau pengumpulan) air akan berlaku dan bahagian kaki serta abdomen menjadi bengkak membuatkan saya tidak selesa," katanya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain