Normal atau istimewa bukan alasan, Aqil tetap pimpin tangan Al Muqri di PAGN

Aqil (kiri) bersama Al-Muqri merupakan sahabat baik sejak tahun lalu.

SAHABAT sejati. Itulah yang dapat disimpulkan mengenai ikatan persahabatan dua kanak-kanak yang mendapat didikan di Pusat Anak Genius Negara (PAGN) Subang Jaya, Selangor.

Di sebalik personaliti yang ramah, Aqil Harith Mohd Adha, memiliki akhlak terpuji kerana mengambil berat kebajikan rakan istimewanya, Al Muqri Jumadi yang mengalami masalah kelewatan bercakap (speech delay). Kedua-dua sahabat yang mengenal satu sama lain sejak setahun lalu ini berusia empat tahun.

Tanpa jemu, Aqil pasti menghulurkan selipar, memimpin tangan serta mengambil beg sahabat baiknya tanpa dipinta, ketika melakukan aktiviti di dalam mahupun luar bilik darjah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tersenarai ke-4 di dunia, bahasa isyarat kaedah komunikasi cawangan terbaharu Starbucks di Pulau Pinang

Nampak seperti mudah bukan? Namun inilah sikap yang semakin luntur di kalangan generasi Y  hari ini.

Penerima Anugerah Khas Pelajar, Aqil Harith (berbaju hijau), bersama-sama ibunya Sharifah Azuin Syed Zainal, bergambar kenangan dengan Al Muqri dan ibunya Siti Hajar Shafie

Bukan itu sahaja, Aqil turut disenangi rakan sekelasnya kerana sikapnya yang ringan tulang membantu guru serta rakan-rakan menyiapkan tugasan mereka.

Dek kerana personaliti dan akhlak baik, anak tunggal kepada pasangan Sharifah Azuin Syed Zainal,32, dan Mohd Adha Mohd Diah,32, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pelajar, manakala Anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan pula dimenangi oleh Anas Malik Aznizam, 4 di Majlis Konvokesyen PAGN yang diadakan di Dewan Kenanga Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) baru-baru ini.

Menurut Ketua Pendidik PAGN Subang Jaya, Bavane Govindasamy, sikap seperti inilah yang sangat ditekankan untuk melahirkan generasi muda yang kaya dengan nilai-nilai murni dan cemerlang di masa hadapan.

“Saya yakin dan pasti anak-anak ini akan memperoleh kecemerlangan dan dapat bersaing dengan anak-anak normal di luar sana.

“Diharap mereka dapat menjadi modal insan yang berkualiti bukan sahaja daripada  aspek akademik malah  sahsiah juga,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PAGN.

Pengerusi Persatuan Ibu bapa Pusat Anak Genius Negara, Fazlihisam Husin menyampaikan plak dan sijil penghargaan kepada penerima Anugerah Pelajar Terbaik, Anas Malik pada Majlis Konvokesyen PAGN baru-baru ini.

Sementara itu, ketika ditemui, Sharifah Azuin yang lebih mesra dengan panggilan Aween, berkata dia melayan anak tunggalnya dengan menerapkan kematangan pemikiran seperti orang dewasa.

Jelasnya, jika ada kesalahan yang dilakukan Aqil akan didenda dan jika buat perkara yang baik dia akan diberikan hadiah.

"Terima kasih kepada guru-guru PAGN. Saya terkejut bila nama Aqil diumumkan.

"Semoga dia terus membesar jadi orang berguna bukan sahaja untuk diri sendiri tapi masyarakat di sekelilingnya.

Tenaga pengajar PAGN Subang Jaya, bergambar kenangan bersama-sama dengan pelajar-pelajar empat tahun.
 

"Jika bukan kepandaian akademik sekalipun, apa yang lebih penting, dia tahu adab sopan," katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada pelajar istimewa Al Muqri melahirkan rasa terharu kerana anak tunggalnya mempunyai sahabat yang prihatin dan memahaminya.

"Saya terharu kerana Muqri ada kawan yang sangat prihatin, menerima dia seadanya.

"Syukur Muqri dikelilingi sahabat yang baik," katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.

Aqil (kiri) akan sentiasa memimpin tangan Al Muqri sambil berjalan bersama.

Ibu muda ini turut berharap anak istimewanya itu mampu berdikari dan berjaya menggapai kejayaan seperti insan normal yang lain.

Pada majlis yang sama seramai 17 kanak-kanak menamatkan kursus pendidikan awal kanak-kanak mereka di PAGN Subang Jaya.

Dengan tema Bollywood pelbagai aktiviti turut berlangsung, seperti persembahan kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun dan cabutan bertuah.

Majlis konvokesyen ini adalah acara tahunan PAGN di seluruh negara bagi meraikan kanak-kanak empat tahun yang tamat pengajian awal mereka.

Terdapat 89 PAGN di seluruh negara dan program asuhan dan didikan awal kanak-kanak ini melibatkan generasi pra sekolah di antara umur dua hingga empat  tahun bagi isi rumah yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.

Artikel Lain