suria

Awas musim banjir! Jaga kesihatan, bertoleransi di pusat pemindahan

SEBANYAK tiga negeri dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu dan Johor melibatkan sembilan sembilan daerah di Kelantan, tujuh daerah di Terengganu dan satu daerah di Johor sejak 2 Disember lalu.

Bencana alam itu menyebabkan sebanyak 33 fasiliti kesihatan terjejas banjir iaitu 28 buah fasiliti kesihatan di Kelantan dan lima buah fasiliti kesihatan di Terengganu.

Daripada jumlah itu 21 buah fasiliti kesihatan terputus hubungan, lima buah dinaiki air dalam fasiliti kesihatan dan tujuh buah fasiliti kesihatan yang mengalami kenaikan air di luar fasiliti kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Musim tengkujuh tiba lagi, apa kata ambil maklum tip penting hadapi banjir

Operasi fasiliti kesihatan yang dinaiki air dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang berhampiran dan masih beroperasi seperti biasa dan sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Elakkan bermain air banjir.

Pasukan petugas perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah terbabit telah digerakkan ke pusat-pusat pemindahan banjir yang telah dibuka dan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan.

Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi mengesan dan mengawal kejadian penyakit berjangkit telah dan sedang dijalankan.

Pemantauan penyakit sehingga kini menunjukkan tiada kejadian wabak penyakit berjangkit berlaku di kawasan-kawasan yang terbabit.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap arahan daripada pihak berkuasa dari masa ke semasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri seperti berikut:

i. Elak bermain dengan air banjir

Terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit Leptospirosis (kencing tikus) dan Melioidosis yang ditularkan melalui air yang tercemar. Gunakan alat pelindung diri seperti boot getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti  pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur.

ii. Minum air yang telah dimasak dan makanan bersih 

Bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan Acute Gastroenteritis (AGE).

iii. Amalkan penjagaan kebersihan diri

Mengamalkan cara basuh tangan yang betul; membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan serta selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan (sewage).

iv. Bekalan elektrik

Sekiranya bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak. Elakkan memakan makanan yang terdedah kepada air banjir, yang berada pada suhu bilik melebihi 4 jam atau ada perubahan rasa, bau atau tesktur.

v. Awasi risiko renjatan elektrik 

Elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ianya dipastikan selamat.

vi. Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran

Pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain. Semasa banjir, bekas-bekas menakung air akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti Demam Denggi, Chikungunya dan Malaria.

vii. Penyakit kronik

Bagi penyakit kronik (seperti pesakit hemodialisis) yang memerlukan rawatan berkala, perancangan perlu dibuat untuk berpindah lebih awal supaya tidak terputus hubungan untuk mendapatkan rawatan.

viii. Bekalan ubat 

Pastikan bekalan ubat mencukupi dan disimpan ditempat yang selamat bagi mengelakkan ianya rosak terkena air banjir. Sekiranya bekalan ubat terputus atau rosak disebabkan banjir, perlu segera maklumkan kepada pasukan perubatan.

ix. Sikap toleransi

Semasa tinggal di pusat-pusat pemindahan, amatlah penting bagi semua penghuni untuk mengamalkan sikap bertoleransi, saling bantu-membantu dan hormat-menghormati bagi mengelakkan ketegangan atau tekanan (stres) dalam kalangan penghuni.

x. Rawatan segera

Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di Pusat Pemindahan Banjir atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya.

Artikel Lain