Umat Islam perlu tahu bahawa membatalkan puasa ganti Ramadan tanpa sebab haram hukumnya. -Gambar hiasan
KURANG sebulan menjelang Ramadan, ramai umat Islam mula mengambil peluang menggantikan puasa yang tertinggal pada Ramadan sebelumnya. Namun, ada segelintir umat Islam terlepas pandang apabila sengaja membatalkan puasa ganti tersebut tanpa sebab yang kukuh. Tindakan membatalkan puasa ganti tanpa keuzuran syarie adalah haram, jelas pendakwah, Ustaz Azhar Idrus.Menurut beliau, perkara tersebut sering menjadi kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya melibatkan wanita yang sedang mengganti puasa Ramadan.Ramai yang mula berpuasa ganti kerana Ramadan bakal tiba tak lama lagi. -Gambar hiasan“Kalau seseorang berpuasa sunat, hukumnya makruh untuk berbuka di tengah jalan tetapi tidak berdosa. "Namun jika puasa itu adalah puasa wajib, maka haram untuk membatalkannya dengan sengaja,” katanya dalam suatu ceramah [Tonton Video].Ustaz Azhar menerangkan bahawa terdapat tiga jenis puasa wajib yang tidak boleh dibatalkan sesuka hati, iaitu puasa Ramadan, puasa qada Ramadan dan puasa nazar.“Puasa Ramadan haram dibatalkan tanpa sebab. Puasa ganti Ramadan juga sama hukumnya, begitu juga puasa nazar. "Semuanya wajib disempurnakan kecuali jika ada keuzuran syarie seperti sakit,” katanya.Dalam pada itu, beliau menasihatkan umat Islam agar lebih berhati-hati dalam melaksanakan ibadah puasa, khususnya puasa wajib, dan tidak memandang ringan hukum hakam yang telah ditetapkan syarak.“Kalau sakit atau ada uzur, Islam beri keringanan. Tapi kalau sengaja berbuka tanpa sebab, itu yang menjadi salah,” katanya.