suria

Tak jadi nikah Ogos, famili suruh tukar tarikh bimbang bulan Safar bawa musibah! Ini penjelasan ustaz

Tiada bulan di dalam Islam yang 'sial' sehingga umatnya ditegah untuk melangsungkan pernikahan. -Gambar hiasan

PERKAHWINAN merupakan salah satu ibadah yang sangat digalakkan dalam Islam dan waktu pelaksanaannya sering dipertimbangkan dengan teliti oleh bakal pengantin serta ahli keluarga. 

Namun, bernikah pada bulan Safar masih lagi dikaitkan dengan kepercayaan lama oleh sesetengah masyarakat yang menganggap perkahwinan yang dilangsungkan pada bulan ini boleh membawa malang atau nasib buruk.

Sebagaimana luahan seorang wanita di laman Thread, dia mendakwa perancangan nikah pada Ogos depan terpaksa diubah kerana ditentang oleh keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamba cas 'handphone' di masjid, terlupa guna elektrik untuk tujuan peribadi... Ini penjelasan mufti

"Plan nikah bulan Ogos tapi bila kena ikut family ni jadi lain. Katanya bulan Ogos jatuh bulan Safar, (bimbang) jadi musafir dan miskin. Rumah tangga banyak sedih nanti. Relevan lagi ke semua ni?" tulisnya.

Tidak hanya pernikahan, malah ada yang percaya bahawa bulan Safar juga tidak digalakkan untuk bertunang, memulakan perniagaan dan bermusafir, sehingga mereka melakukan upacara 'mandi Safar' kononnya untuk membuang sial. 

Mengikut kalendar Islam, Safar adalah bulan kedua selepas Muharam berdasarkan tahun Qamariyah dan pada 2025, permulaan Safar adalah pada 27 Julai. 

Persoalannya, dalam Islam apakah hukum bernikah pada bulan Safar dan sejauh manakah kebenaran kepercayaan tersebut?

Islam menuntut umatnya mempercayai al-Quran dan sunnah sebagai pegangan hidup. -Gambar hiasan

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus tampil memberikan jawapan yang tuntas dalam satu slot ceramah beliau yang disiarkan di YouTube. 

"Tak betul... semua bulan dalam Islam, molek belaka untuk menikah. Cuma kata sesetengah ulama, yang paling molek adalah pada bulan Syawal.

"Kenapa pula bulan Safar tak boleh menikah? Benda yang disampaikan orang tua-tua dulu jika betul, kita kekalkan. Yang salah, kita tinggalkan. Pegangan itu yang sial," ujarnya.

Rasulullah SAW sendiri dengan tegas menolak mitos bahawa bulan Safar adalah bulan yang dipenuhi keburukan.

Perkara ini dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA, maksudnya:

"Tiada jangkitan penyakit (yang berjangkit dengan sendirinya), tiada kepercayaan buruk (ramalan sial), tiada (kesialan yang dikaitkan dengan) burung hantu, dan tiada pula kesialan pada bulan Safar. Jauhilah diri daripada orang yang menghidap penyakit kusta seperti mana kamu melarikan diri daripada seekor singa."

Justeru, kepercayaan bahawa bulan Safar membawa musibah adalah tidak benar. 

Ini kerana setiap orang Islam wajib mempercayai bahawa segala peristiwa yang berlaku dalam kehidupan manusia hanyalah dengan izin Allah SWT, termasuklah takdir yang baik mahupun buruk, bukannya disebabkan oleh bulan tersebut dianggap membawa sial.

Artikel Lain