suria

Setiap tahun cikgu dapat banyak hadiah Hari Guru, mufti perjelas situasi haram terima pemberian pelajar

Golongan pendidik lazimnya akan menerima hadiah daripada murid setiap kali tibanya Hari Guru. -Gambar hiasan

TANGGAL 16 Mei setiap tahun merupakan tarikh keramat yang diraikan bagi memperingati jasa dan pengorbanan para pendidik.

Pada hari istimewa ini, guru-guru lazimnya dihujani dengan ucapan penghargaan serta pelbagai bentuk hadiah daripada anak murid sebagai tanda terima kasih.

Namun begitu, perkara ini secara tidak langsung membangkitkan persoalan sama ada perbuatan menerima hadiah atau apa saja pemberian dibenarkan dari sudut Islam, atau dianggap sebagai satu bentuk rasuah?

ARTIKEL BERKAITAN:Jangan sesekali caci guru... 13 perkara pesanan Saidina Ali harus dijadikan panduan

Persoalan berkenaan dikupas dan dihuraikan panjang lebar dalam laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut laman tersebut, para fuqaha' (ahli dalam ilmu fiqh) bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya mempunyai kepentingan yang mendatang.

a

Selain hadiah, murid akan menulis ucapan untuk menzahirkan penghargaan kepada guru. -Gambar hiasan

Di dalam al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah juga ada menyatakan bahawa pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

- Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim.

- Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman.

- Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk menggelakkan kezalimannya ke atas diri kita.

- Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut kerana kemudaratan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.

Sementara itu, rasuah pula ditakrifkan sebagai 'sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan'. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

"Kesimpulannya, pemberian dan penerimaan hadiah itu mestilah bertujuan untuk kebaikan dan mengeratkan silaturrahim. Dan ini adalah yang disunatkan seperti mana yang dilakukan pada hari guru bagi menghormati dan memuliakan para guru.

"Namun, sekiranya pemberian hadiah itu mengandungi unsur-unsur yang dilarang syarak, seperti paksaan dan rasuah bertujuan untuk mendapat manfaat yang tertentu maka ia diharamkan," tulisnya lagi.

Semoga penerangan berkenaan memberikan kita kefahaman yang jelas.

Artikel Lain