suria

Ibu bapa buat korban nazar anak raih keputusan cemerlang, boleh ke jamah sikit? Ini huraiannya

Wajib melaksanakan perkara yang dinazarkan jika apa yang dihajati tercapai. -Gambar hiasan

SEPERTI yang kita ketahui, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sudah pun diumumkan pada 24 April lalu.

Seiring dengan keputusan cemerlang anak masing-masing, ada dalam kalangan ibu bapa yang sebelum ini memasang nazar, berniat untuk melunaskannya.

Sebagai contoh, ada ibu bapa yang bernazar untuk melakukan ibadah korban sebagai tanda syukur kepada Allah di atas pemberian dan ganjaran-Nya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu sukarela nak tolong, lepas gaduh enggan halalkan kebaikan! Ambil tahu hukum ungkit pemberian

Korban nazar ialah apabila seseorang itu mengatakan bahawa jika dia mendapat apa yang dihajatinya dia akan menyembelih haiwan korban, maka wajiblah ke atasnya menunaikan nazarnya itu.

Timbul persoalan, adakah orang yang bernazar dibolehkan mengambil sedikit daging korban buat keluarganya untuk dimakan?

Hukum mengenai persoalan tersebut dihuraikan penuh tuntas oleh pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun.

"Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mereka yang nazar dan hajatnya tercapai adalah wajib, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud; 'Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.' (Surah al-Hajj: 29)

Mereka yang melaksanakan korban nazar tidak boleh mengambil daging korban. -Gambar hiasan

"Para ulamak menetapkan bahawa korban yang dilaksanakan kerana menunaikan nazar tidak boleh dimakan oleh orang yang melakukan korban tersebut termasuk ahli keluarga (dibawah tanggungannya).

"Korban yang dilaksanakan wajib disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin," hurainya.

Tambahnya, berdasarkan pendapat dalam al-Mu'tamad fi Mazhab al-Syafie, jika seseorang itu memakan daripada korbannya, hendaklah dia ganti dengan mengeluarkan sejumlah wang mengikut kadar yang telah dimakannya tersebut. 

"Tidak perlu baginya untuk dia menyembelih lagi haiwan yang lain sebagai ganti kepada bahagian yang telah dimakan tersebut," terang beliau lagi.

Kesimpulannya, kewajipan sesuatu nazar tersebut bergantung kepada tercapainya sesuatu yang dinazarkan.

Apabila sesuatu nazar tercapai, maka wajib untuk seseorang itu melaksanakan apa yang dinazarkannya.

Walaubagaimanapun, jika nazar itu tidak tercapai, maka tiada kewajipan ke atas dia untuk melaksanakan apa yang dinazarkan tersebut.

Semoga bermanfaat!

Artikel Lain