suria

Makin ramai obses putihkan kulit... Kena hati-hati takut terlanggar sempadan, berdosa besar hukumnya!

Sesetengah individu mengambil pelbagai langkah untuk memutihkan kulit demi memenuhi standard kecantikan tertentu. -Gambar hiasan

DALAM era moden kini, amalan kecantikan dan penjagaan kulit menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai individu. 

Salah satu trend yang semakin mendapat perhatian ialah memutihkan kulit, sama ada melalui penggunaan produk kosmetik, rawatan dermatologi, atau makanan tambahan.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah apakah hukum memutihkan kulit daripada sudut pandangan Islam?

Menurut pendakwah bebas popular, Ustaz Azhar Idrus, sama ada memutihkan kulit, menghitamkan rambut atau menegangkan wajah, ia adalah dibolehkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas mufti hurai kepercayaan tak elok nikah bulan Syawal, lagi teruk dikaitkan dengan sial

"Cuma Islam adalah agama yang mengawal manusia, jangan sampai melebihi sempadannya. Dalam Islam bukan semuanya tak boleh.

"Oleh itu dalam soal memutihkan kulit, ia juga dibolehkan tapi bukan dengan cara yang salah.

"Bagaimana yang salah? Iaitu cara tersebut mengubah ciptaan Allah," jelasnya.

Beliau turut memberikan contoh situasi agar hukum mengenainya difahami dengan lebih jelas.

Trend memutihkan kulit semakin popular dalam kalangan masyarakat yang ingin tampil berkulit cerah. -Gambar hiasan

Menurutnya, jika seorang nelayan selalu turun ke laut sehingga menyebabkan kulitnya menjadi hitam, dia dibolehkan mencerahkan kulitnya dengan menggunakan produk seperti sabun.

Dalam situasi ini, hukumnya harus kerana ia tidak mengubah ciptaan Allah, tetapi sekadar mahu mengembalikan warna kulit kepada yang asal.

Berbeza dengan orang yang berkulit hitam, menggunakan rawatan tertentu seperti skin bleaching untuk memutihkan kulit mereka secara kekal, ia sama sekali tidak dibolehkan kerana mengubah ciptaan Allah.

"Begitu juga sekiranya seseorang itu sedia ada mempunyai kulit yang hitam tapi kemudian menggunakan produk yang boleh menghakis kulit secara luaran untuk menghasilkan kulit yang putih, maka hukumnya haram dan berdosa besar," jelas beliau.

Islam tidak menolak kecantikan. Malah, agama ini menganjurkan penganutnya agar menjaga kebersihan dan penampilan diri.

Bagaimanapun, ia perlulah tidak melampaui sempadan yang ditetapkan hukum syarak. Semoga bermanfaat!

Artikel Lain