suria

Dulu sukarela nak tolong, lepas gaduh enggan halalkan kebaikan! Ambil tahu hukum ungkit pemberian

Islam menuntut umatnya untuk tolong menolong lebih-lebih lagi melibatkan adik beradik. -Gambar hiasan

DALAM kehidupan berkeluarga, sikap saling membantu adalah salah satu bentuk kasih sayang yang sangat dituntut dalam Islam.

Pasti ramai antara kita pernah membantu adik-beradik ketika dalam kesusahan, sama ada dalam bentuk wang, menanggung perbelanjaan harian dan sebagainya.

Namun tidak dinafikan, wujud kes di mana berlaku ungkit-mengungkit bantuan yang pernah diberikan terutama selepas berlaku salah faham atau konflik keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas mufti hurai kepercayaan tak elok nikah bulan Syawal, lagi teruk dikaitkan dengan sial

Persoalannya, apakah hukum mengungkit pemberian dalam Islam? Dan adakah benar seseorang boleh ‘tarik balik’ keikhlasan yang telah diberi?

Persoalan sedemikian diulas dengan tuntas menerusi tulisan di Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Islam amat melarang permusuhan antara sesama saudara, apatah lagi antara adik-beradik. -Gambar hiasan

“Pada asasnya, apabila suatu sedekah atau hibah diambil oleh penerima, ia menjadi hak milik penerima tersebut sepenuhnya dan dia boleh menggunakan harta itu sebagaimana yang dimahukan.

“Pemberi pula sudah hilang hak pemilikannya terhadap wang yang diberi tersebut. Oleh itu, pemberi tersebut tiada kuasa untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut, bahkan ia boleh dianggap seperti perbuatan meminta semula pemberian,” tulisnya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW jelas bersabda, maksudnya:

“Tidak halal bagi seorang lelaki memberi sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya. Misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan hingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya itu,” tulisnya lagi. [Riwayat Abu Daud (3539) dan al-Tirmizi (2132)]

Kesimpulannya, segala pemberian sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan yang diterima oleh penerima telah menjadi hak milik penerima sepenuhnya.

Dalam situasi ini, pemberi tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut dan penerima tidak wajib memulangkan semula apa yang telah diberi kepadanya.

“Dengan berkata ‘aku tidak menghalalkan pemberian’ dikira sebagai pengungkitan pemberian yang boleh meluputkan pahala sedekah,” tulisnya lagi.

Artikel Lain