SYAWAL baru sahaja melabuhkan tirainya.
Selain bulan meraikan kemenangan, Syawal juga menjadi wadah untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama insan dengan tradisi kunjung mengunjung antara satu sama lain.
Tidak kurang juga yang menggunakan cuti perayaan untuk melangsungkan pernikahan.
Namun begitu, ada pula yang memegang kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa tidak elok untuk bernikah pada bulan Syawal.
Sejauh manakah kebenarannya?
Mengulas mengenai perkara berkenaan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi tulisannya dalam Maktabah Al-Bakri menghuraikan panjang lebar isu ini agar kita sama-sama mendapat kefahaman yang jelas.
ARTIKEL BERKAITAN: Banyak ‘mengular’, lepak waktu kerja... Ada juga tipu ‘claim’! Ustaz ajar cara ’cuci’ duit gaji supaya berkat
"Ibn Manzur menyatakan dalam Lisan al-'Arab bahawa, 'orang Arab pada zaman jahiliah menganggap sial dan pantang berkahwin pada bulan Syawal. Mereka percaya wanita yang dikahwini pada bulan itu akan menolak suaminya sebagaimana unta betina yang bunting akan mengangkat ekornya (yakni menolak unta jantan) selepas mengawan dan mengandung'.
"Namun, Nabi Muhammad SAW menolak kepercayaan khurafat ini dan membatalkannya secara perbuatan.
Nikah bukan sahaja menyatukan dua insan, tetapi juga menyempurnakan sebahagian daripada agama. -Gambar hiasan
"Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah menikahi aku pada bulan Syawal, dan baginda menyetubuhi aku juga pada bulan Syawal. Maka siapakah dalam kalangan isteri-isteri Rasulullah SAW yang lebih mendapat tempat di sisi baginda berbanding aku?
"Dan Aisyah gemar supaya para wanita (yang dikahwinkan) dimasukkan (yakni dinikahkan atau disatukan dengan suami) pada bulan Syawal," tulisnya.
Tambahnya, kepercayaan karut masyarakat Arab jahiliah bahawa wanita yang dikahwini pada bulan Syawal akan 'menjauhi' suaminya seperti unta betina yang sedang bunting, adalah satu bentuk tatayyur atau kepercayaan khurafat yang bertentangan dengan Islam.
"Bahkan, anggapan sial seperti itu termasuk dalam tiyarah yang ditegah oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai bentuk syirik kecil.
"Justeru, tidak ada sebarang larangan dalam Islam untuk berkahwin atau memulakan perkahwinan dalam bulan Syawal.
"Oleh itu, berkahwin pada bulan Syawal bukan sahaja dibenarkan, malah termasuk dalam sunnah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda," tulisnya lagi.