suria

Cuba 5 formula ini untuk sembahyang lebih khusyuk... sempurna solat seseorang, baik-baiklah yang lainnya!

Solat yang dilaksanakan dengan khusyuk dapat mencegah pelakunya dari perbuatan keji dan buruk.

SOLAT merupakan ibadat utama dalam Islam.

Solat juga termasuk dalam rukun Islam yang membezakan antara umatnya yang patuh dan kufur.

Kepentingan solat dapat diketahui melalui sabda Nabi Muhammad SAW bahawa amalan pertama dihitung di akhirat kelak adalah solat. Jika sekiranya hitungan solat adalah baik, maka segala amalan yang lain akan baik-baik belaka.

Penceramah bebas, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan.

Namun, dalam melaksanakan solat tentu sekali kita mahu mencapai tahap khusyuk.

Khusyuk dalam solat merupakan salah satu ciri orang beriman sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah berjayalah orang Mukmin, yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 2)

Solat yang dilaksanakan dengan khusyuk dapat mencegah pelakunya daripada perbuatan keji dan buruk.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah mengadu solat tak khusyuk, ralit tengok ‘iklan’ TV di dinding masjid... Ustaz ajar cara nak fokus, boleh pejam mata!

ARTIKEL BERKAITAN: Alamak! Isteri solat Subuh tapi lupa mandi wajib, tengah khusyuk tahiyat akhir suami datang tegur... “Astaghfirullahalazim ayang!”

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan buruk dan mungkar.” [Surah al-Ankabut, 45]

Terdapat lima formula yang boleh diteliti dan diamalkan bagi memperoleh khusyuk dalam solat:

1. Al-Tafahhum: Mengetahui serta memahami segala bacaan dalam solat serta menghayati makna-maknanya.

2. Al-Takzim: Merasakan kebesaran Allah SWT seolah-olah diri sedang berada di hadapan-Nya.

3. Al-Haybah: Menghadirkan perasaan gerun terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.

Formula solat ini boleh diamalkan bagi mendapatkan solat yang khusyuk dan sempurna.

4. Al-Raja’: Mengharapkan kerahmatan dari Allah SWT dengan penuh pengharapan bahawa segala ibadat diterima oleh-Nya.

5. Al-Haya’: Berasa malu akan Allah SWT kerana kealpaan diri dalam mengotakan janji kepadaNya serta kekurangan diri dalam beribadat kepadaNya.

Perasaan malu kepada Allah SWT akan menjadikan kita selalu berhati-hati dalam setiap langkah dan gerak-geri seharian.

Diriwayatkan bahawa seorang sahabat pernah meminta nasihat daripada Nabi Muhammad SAW, lalu baginda menjawab yang bermaksud: “Aku mewasiatkan kepada kamu agar kamu malu akan Allah SWT sebagaimana kamu malu kepada lelaki soleh dalam kalangan kamu.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, 7738)

Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha mengamalkan formula ini bagi mencapai kekhusyukan dan kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah solat seharian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Artikel Lain