suria

Di akhir zaman muncul ramai pendusta, kata-katanya dipercayai orang... Jauhilah dajal-dajal kecil ini

DI antara fitnah terbesar yang akan dihadapi pada akhir zaman adalah kemunculan dajjal.

DI antara fitnah terbesar yang akan dihadapi pada akhir zaman ialah kemunculan dajal. Oleh sebab itu Nabi SAW mengajarkan satu doa sebagai satu cara untuk mengelakkan fitnah tersebut.

Doa itu sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah bahawa Nabi SAW berdoa: Maksudnya: “Ya Allah aku berlindung kepada Engkau daripada fitnah neraka dan azab api neraka. Aku juga berlindung kepada Engkau daripada fitnah kubur dan keburukan hasil daripada fitnah kekayaan dan kefakiran. Ya Allah, aku berlindung kepada Engkau daripada keburukan fitnah Al-Masih Al-Dajal...” [Riwayat Al-Bukhari (6377) & Muslim (7046)]

ARTIKEL BERKAITAN: Peluh manusia di akhirat menitis sehingga tenggelam tuannya berdasarkan amalan di dunia... Segera lakukan amal soleh

Tetapi timbul pula persoalan sama ada dajal ini nanti ialah seorang individu atau dalam jumlah yang ramai untuk menyesatkan manusia suatu hari nanti?

Menjelaskan perkara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah memberitahu kemunculan dajal akan menguji dan mengoncang keimanan dan ia turut dijelaskan menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya.(Tiga perkara tersebut ialah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajal dan juga al-Dabah yang melata di bumi.” - [Riwayat Muslim (158)].

kemunculan dajjal

Dajal yang disebut sebagai Al-Masih itu seorang yang akan muncul pada akhir zaman sebagai tanda hampirnya kiamat.

Katanya, terdapat hadis yang menceritakan bahawa akan muncul pada akhir zaman pendusta yang disebut sebagai dajal. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Akan datang pada akhir zaman (kemunculan) dajal-dajal para pendusta. Mereka akan datang kepada kalian dengan ucapan-ucapan yang tidak pernah kalian dengar. Bahkan ayah-ayah kalian juga tidak pernah mendengarnya. Maka jauhilah mereka. Mereka tidak akan menyesatkan kalian mahupun mendatangkan fitnah kepada kalian.” - [Riwayat Muslim (16)].

Di dalam riwayat yang lain menyebut: Maksudnya: “Tidak akan terjadinya kiamat sehinggalah dibangkitkan dajal-dajal yang menipu yang mana jumlah mereka lebih kurang 30 orang. Setiap daripada mereka mendakwa bahawa dialah utusan Allah.” - [Riwayat Al-Bukhari (3609), Al-Tirmizi (2218) & Abu Daud (4333)].

"Jika diperhatikan di dalam riwayat-riwayat ini disebutkan dajal dalam bentuk kata jamak iaitu dajalun yang membawa maksud dajal-dajal. Namun begitu, adakah ia bermakna bahawa dajal itu ada ramai?

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut: Maksudnya: “Dajal itu membawa maksud menutup dan menyembunyikan. Ia juga kadang-kadang membawa makna menipu. Oleh sebab itu, perkataan kazzabun (pendusta) ialah sebagai penguat kepada perkataan dajal.” - (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/616).

Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim Al-Abadi menjelaskan perkataan dajal yang disebutkan di dalam hadis tersebut: Maksudnya: “(Maksud dajal) ialah belitan dan kekeliruan. Iaitu banyaknya perancangan jahat dan kekeliruan.” - (Rujuk ‘Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 9/1446).

Berdoa

Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah agar terhindar daripada fitnah dajal.

Imam Al-Nawawi berkata: Maksudnya: “Ia berasal dari perkataan Al-Dajl yang membawa makna menyembunyikan perkara yang sebenar dan mempersembahkan sesuatu yang tidak bernilai, Mereka ini terdapat pada setiap zaman. - “ (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/45).

"Bahkan jika dilihat pada zaman Rasulullah SAW terdapat beberapa orang yang dipanggil sebagai dajal. Antaranya Ibnu Sayyad, Musailamah dan ramai lagi. Maulana Anwar Syah Al-Kashmiri menyebut bahawa Ibnu Sayyad itu bukannya dajal yang sebenar," katanya.

Ini berdasarkan satu kenyataan yang terdapat dalam Musannad Abdurrazzaq: Maksudnya: “Wahai orang ramai, sesungguhnya Ibnu Sayyad itu bukanlah dajal yang besar.”

Maka dinamakan sebagai dajal kerana sifat dustanya dan penuh dengan penipuan. - (Rujuk Faidh Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 3/120).

"Kesimpulannya, berdasarkan apa yang telah dinyatakan, hadis tersebut bukan bermakna dajal itu ialah ramai. Dajal yang disebut sebagai Al-Masih itu seorang yang akan muncul pada akhir zaman sebagai tanda hampirnya kiamat.

"Dajal yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah bersifat umum yang bermaksud penipu, pembohong dan pendusta yang suka menyebarkan pembohongan sehingga dipercayai oleh ramai orang," jelasnya. - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain