suria

Kanchanaburi tersimpan banyak tinggalan sejarah, Air Terjun Erawan jangan lupa singgah!

Air Terjun Erawan adalah salah satu air terjun tersohor di Thailand. -foto Bernama

SEKEMBALI dari percutian ke Thailand bulan lepas, saya berkongsi pengalaman berkunjung ke Kanchanaburi dengan beberapa orang dan tidak ramai yang tahu di mana letaknya bandar yang penuh dengan sejarah Perang Dunia Kedua ini.

Kebanyakan pelancong ke Thailand lazimnya akan menghabiskan masa di Bangkok sebelum menuju ke Chiang Mai di utara dan pulau peranginan di bahagian selatan seperti Krabi, Koh Samui atau Phuket.

Saya dan rakan saya mempunyai masa seminggu untuk berlibur di Thailand dan selepas dua hari di Bangkok, kami memutuskan untuk ke Kanchanaburi. Pemilik pangsapuri yang kami sewa, saya kenal sebagai Mai berkata banyak tempat menarik di Kanchanaburi termasuk jambatan yang tersohor merentang Sungai Kwai dan air terjun Erawan.

Kanchanaburi terletak sekitar dua hingga tiga jam perjalanan dari Bangkok. Pelawat boleh memilih sama ada menggunakan kereta api, bas, van mini atau teksi bermeter.

Saya dan rakan menaiki bas dari Southern Terminal (Sai Mai Tai). Bas bertolak awal pagi dan perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam setengah untuk sampai ke destinasi. Harga tiket 100 baht (RM13.38) seorang.

JAMBATAN RIVER KWAI

Kanchanaburi yang terletak 128.7 kilometer ke barat kota Bangkok menjadi tarikan pelancong kerana banyak peninggalan sejarah. Kami menginap di Noble Night Guest House terletak di Maenamkwai Road.

Jalan ini dikatakan terkenal dalam kalangan pelancong dan ’backpackers'’. Selepas mendaftar masuk di rumah penginapan itu, kami menyewa basikal dengan bayaran 50 baht seorang untuk melihat kawasan sekitar pekan ini.

Pekan di pinggiran sungai ini menjadi terkenal dek kerana filem klasik Perang Dunia Kedua yang dihasilkan pada 1957 iaitu ‘Bridge on the River Kwai’. Filem ini adalah berdasarkan Landasan Keretapi Maut yang dibina tentera Jepun sewaktu perang dunia itu sebagai sebahagian daripada Landasan Keretapi Thai-Burma.

Kami yang ingin tahu lebih lanjut tentang sejarah landasan kereta api ini pun mengayuh basikal menuju ke Muzium Perang JEATH, yang terletak di jambatan Sungai Kwai. Nama JEATH adalah abjad pertama nama negara yang terlibat dalam pembinaan Landasan Keretapi Maut (1942-1945) iaitu Jepun, England, Amerika, Australia, Thailand dan Holland (Belanda).

Kanchanaburi menyimpan banyak sejarah. -foto Bernama

Menurut maklumat di muzium itu, lebih 300,000 buruh maut semasa pembinaan Landasan Keretapi Thai-Burma dan sebab itulah ia dikenali pada masa ini sebagai Landasan Keretapi Maut.

Daripada sepanjang 415 km landasan kereta api yang menghubungkan Thailand dengan Burma, kini hanya ada trek sepanjang 130km sehingga stesen Nam Tok kerana yang lainnya sama ada sudah tidak digunakan atau musnah.

Menurut buku panduan muzium yang saya baca, setiap kilometer landasan itu 'mengorbankan’ 38 orang buruh. Terdapat juga gambar serta ilustrasi yang mengisahkan keadaan hidup tahanan perang (POW).

Kira-kira satu kilometer dari muzium itu terdapat Tanah Perkuburan Perang di mana jasad 6,982 POW yang terkorban ketika membina Landasan Keretapi Maut itu disemadikan.

HELLFIRE PASS, ERAWAN

Sudah tentunya, kunjungan ke Kanchanaburi tidak akan lengkap jika tidak menaiki kereta api melalui Landasan Keretapi Maut itu. Lalu kami menaiki kereta api ke Nam Tok dari stesen Sungai Kwai (boleh juga menaiki kereta api di stesen Kanchanaburi) dan pemandangan di sepanjang perjalanan begitu menakjubkan.

Landasan kereta api ini merentas landskap yang cantik, banjaran gunung-ganang, hutan dan sungai.

Perjalanan ke stesen Nam Tok mengambil masa beberapa jam dan sebaik sahaja tiba di stesen, antara perkara pertama yang kami lakukan ialah meninjau Hellfire Pass yang terletak berhampiran dengan stesen keretapi.

Dengan bantuan maklumat audio, kami mendengar kisah beberapa orang buruh lelaki yang menderita bekerja membina landasan keretapi maut itu. Hellfire Pass adalah di mana ribuan pekerja landasan kereta api itu yang bekerja dalam keadaan yang teruk, menemui ajal mereka.

Sememangnya tempat itu menyimpan seribu macam kisah dan menarik untuk diterokai meskipun bagi mereka yang kurang berminat tentang Perang Dunia Kedua.

Di sebalik sejarah hitamnya, Kanchanaburi yang juga dikenali kerana Taman Negara Erawan, terletak sejam perjalanan dan lokasi Air Terjun Erawan, setinggi tujuh tingkat.

Kebanyakan pelancong mengambil pakej sehari ke Taman Negara Erawan, dengan kos sekitar 1,000 hingga 1,300 baht seorang.

Air Terjun Erawan adalah salah satu air terjun tersohor di Thailand dengan kolaman air berwarna kehijau-hijauan. Pelancong asing perlu membayar 300 baht untuk masuk ke kawasan air terjun ini.

Untuk sampai ke setiap tingkat air terjun ini, ada laluan yang berliku menaiki bukit dan melalui hutan. Kami sememangnya merancang meredah semuanya itu untuk ke tingkat tujuh tetapi membatalkan niat kerana laluan yang berlumpur. Dikhabarkan hujan sebelum itu. Kami hanya sampai ke tingkat lima.

Ada banyak kolam di setiap tingkat air terjun. Pengunjung boleh memilih sama ada berenang di dalam kolam atau duduk santai di tepiannya untuk mendapat pengalaman "berurut kaki” secara percuma. Di dalam kolam itu terdapat banyak ikan Garra Rufa yang suka menggigit kulit mati di jari kaki.

Sedikit panduan untuk mereka yang mahu berkunjung ke Air Terjun Erawan, pekerja akan mula membersihkan kawasan atas air terjun sekitar pukul 3 petang. Untuk itu, rancang masa pendakian dan jangan lupa bawa krim perlindungan cahaya matahari, krim untuk cegah gigitan serangga, pakaian renang dan kasut yang sesuai untuk perjalanan lasak.

BEBERAPA PANDUAN

Bagi saya antara yang paling terbaik untuk mengisi masa percutian di Kanchanaburi ialah bersantai di atas rakit yang terapung atau rumah bot di sepanjang Sungai Kwai yang diikat di tebing sungai. Saya boleh bayangkan keadaan yang mengasyikkan seperti dibuai-buai sambil melihat matahari terbenam.

Bagaimanapun, memandangkan jadual kami ketat, kami tidak dapat menempah rakit atau rumah bot. Kami cuma dapat rumah penginapan biasa.

Masa terbaik untuk bercuti ke Kanchanaburi adalah antara November dan Februari kerana cuaca yang sejuk dan kering. Dari Mac hingga Mei, cuaca boleh menjadi terlalu panas sementara musim hujan antara Jun hingga Oktober.

Bagi pelancong beragama Islam, terdapat banyak restoran dan gerai makan yang dikendalikan oleh orang Islam dari Pattani dan Narathiwat. -Bernama

Artikel Lain