suria

Takut naik kapal terbang? Elak tonton 6 filem ini ketika dalam pesawat

Terdapat banyak filem yang boleh ditonton dalam pesawat, tetapi bagi penumpang yang mudah cemas elakkan diri daripada menonton beberapa filem yang kurang sesuai. -foto Shutterstock

RAMAI yang suka menonton filem bagi menghilangkan rasa bosan ketika naik pesawat.

Apatah lagi jika ia melibatkan penerbangan jarak jauh, sudah tentu menonton filem mampu menjadikan tempoh penerbangan yang panjang terasa cepat berlalu.

Bagaimanapun, tak semua filem sesuai ditonton ketika anda sedang berada dalam pesawat.

Ini kerana, terdapat beberapa filem yang berpotensi membuatkan anda berasa tidak selesa sekali gus menimbulkan rasa cemas atau takut.

Memetik Suara.com dari laman Business Insider, berikut senarai filem yang dirasakan hanya sesuai ditonton di rumah atau setelah anda tiba ke destinasi selepas menaiki pesawat.

1. Snakes on a Plane (2006)

Filem ini merupakan salah sebuah filem klasik tentang ejen FBI yang berusaha menyelamatkan pesawat daripada serangan ular beracun.

Walaupun kemungkinan penumpang menyeludup haiwan ke dalam pesawat adalah kecil, namun kita tidak dapat menolak hakikat bahawa kes-kes seumpamanya pernah berlaku.

Bagi anda yang mudah paranoid, lebih baiklah hindari filem seperti ini.

2. Flightplan (2005)


Misteri kehilangan anak kecil dalam pesawat dalam filem Flightplan. -foto Youtube/Face Off

Bagi yang sedang terbang membawa anak kecil, Flightplan adalah salah satu filem yang sebaiknya dielakkan.

Flightplan mengisahkan tentang seorang ibu yang kehilangan anaknya dalam pesawat.

Menghairankan, dalam filem tersebut, kru bertugas menegaskan bahawa anak perempuannya langsung tidak menaiki pesawat.

3. The Grey (2012)


Nahas pesawat di Alaska dalam The Grey. -foto Movieclips Trailers

Filem ini tak sesuai ditonton oleh penumpang yang takut naik pesawat dan kerap membayangkan pelbagai senario kecelakaan.

Ini kerana, dalam filem yang dibintangi Liam Neeson ini, para penumpang yang terselamat dari kecelakaan pesawat harus bertahan untuk hidup di Alaska.

4. Flight (2012)

Filem Flight bercerita tentang nahas pesawat dan penyiasatan susulan.

Walaupun filem ini telah dipuji ramai pengkritik, ramai juga yang berpandangan bahawa filem ini dimulakan dengan 'scene' kecelakaan pesawat paling menyeramkan berbanding adegan lain yang pernah ada.

5. The Terminal (2004)


Adegan filem The Terminal. -foto YouTube Movies

The Terminal merupakan filem drama komedi-kecelakaan yang agak mendebarkan.

Bagi anda yang selalu bimbang dengan penerbangan 'delay' atau ditahan ketika perjalanan, ada baiknya jika filem ini dihindari.

Dalam filem ini, watak utamanya terkandas di Lapangan Terbang New York karena pasportnya ditahan oleh pihak berkuasa.

6. Final Destination (2000)


Salah satu scene dalam Final Destination yang cukup mendebarkan. -Youtube/Shaun O'Hagan

Final Destination pasti sudah tidak asing lagi bagi kebanyakan orang.

Namun, bagi yang tidak gemar filem horor dan thriller, filem ini sebaiknya dihindari.

Selain mengandungi adegan kecelakaan pesawat, ia juga mampu membuatkan anda terfikir-fikir tentang apa yang dipaparkan walaupun sudah mendarat dan tiba di destinasi.

filem, pesawat, nahas

Artikel Lain