suria

Pahang Dan JDT Main Semula Di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu Ini

Hamidin mengadakan sidang akhbar perlawanan separuh akhir kedua bola sepak Piala FA antara Pahang dan JDT pada Sabtu ini di Wisma FAM Kelana Jaya, Rabu. -fotoBERNAMA
Hamidin mengadakan sidang akhbar perlawanan separuh akhir kedua bola sepak Piala FA antara Pahang dan JDT pada Sabtu ini di Wisma FAM Kelana Jaya, Rabu. -fotoBERNAMA
Hamidin mengadakan sidang akhbar perlawanan separuh akhir kedua bola sepak Piala FA antara Pahang dan JDT pada Sabtu ini di Wisma FAM Kelana Jaya, Rabu. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) yang ditangguhkan pada Selasa akibat kekecohan penyokong akan dimainkan semula di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, pada pukul 4.15 petang.

Ketika mengumumkan sedemikian, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara itu diputuskan selepas meneliti beberapa perkara termasuk aspek keselamatan.

"Kita terpaksa mengadakan perlawanan pada waktu petang di Stadium Nasional Bukit Jalil memandangkan lampu stadium berkenaan masih dalam proses penambahbaikan manakala Stadium Shah Alam pula digunakan untuk sebuah acara konsert pada hari yang sama.

"Memandangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengendalikan perlawanan ini maka kita mencadangkan kepada Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM untuk menggunakan formula 50-50 dalam pengagihan tiket sebanyak 90,000 kepada kedua-dua pasukan," katanya.

Hamidin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa JKPT hampir lima jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini Rabu.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Darulmakmur, Kuantan tidak dapat diteruskan ekoran kekecohan yang ditimbulkan oleh penyokong yang bersesak masuk ke stadium sehingga menyebabkan perlawanan tergendala hampir dua jam.

Mengulas lanjut, Hamidin, yang juga Naib Presiden FAM berkata berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh pegawai Stadium Darulmakmur mendapati empat pintu telah dirempuh masuk selain berlakunya beberapa kerosakan kecil.

"Justeru itu, kita (FAM) akan meminta Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) untuk meneliti semula keadaan Stadium (Darulmakmur) bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang...Kita turut akan menghantar surat peringatan kepada kesemua Persatuan Bola Sepak Negeri (dan kelab) untuk memantau keadaan stadium masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Hamidin berkata, Pahang yang bertindak selaku tuan rumah pada perlawanan semalam, didenda sejumlah RM100,000 kerana mengabaikan aspek keselamatan dan gagal menghalang penyokong (tuan rumah) daripada masuk ke padang sehingga menyebabkan perlawanan itu tertangguh.

"Johor DT pula didenda sebanyak RM20,000 kerana balik pada 9.50 malam sedangkan perlawanan penuh (yang bermula pukul 8.45 malam) hanya dijangka berakhir pada 10.15 malam...hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua pasukan ini adalah muktamad dan tidak boleh dirayu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Fuzeimi Ibrahim yang ditemui, selepas memberikan keterangan, berkata pihaknya akan membuat rayuan dengan mengemukakan perkara berkenaan kepada Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam tempoh terdekat bagi pertimbangan baginda.

"Saya rasa, inilah insiden pertama yang berlaku di laman sendiri...bagi saya jumlah denda itu (RM100,000) terlalu banyak dan kita cuba membuat rayuan dan terpulang kepada budibicara baginda sama ada kita teruskan dengan bayar denda atau buat rayuan terlebih dahulu," katanya.

Bekas jurulatih Pahang sekitar 1990-an itu yang kesal dengan tindakan segelintir penyokong skuad Tok Gajah yang bertindak memasuki kawasan trek mahu mereka menjadikan insiden semalam sebagai satu pengajaran berguna.

Pada perlawanan separuh akhir pertama, Sabtu lepas, Johor DT mengalahkan Pahang 1-0.

Pemenang perlawanan itu akan menentang juara bertahan, Kelantan pada final Piala FA, 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kelantan yang merupakan bakal membuat penampilan kali ketiga di pentas final selepas 2009 dan 2011 mara selepas menundukkan jiran mereka, Terengganu dengan keputusan agregat 6-5, Isnin lepas. - BERNAMA

Artikel Lain