suria

BAM Sentiasa Bersikap Terbuka Tapi Bersyarat - Nadzmi

KUALA LUMPUR: Pemain kelab boleh menjalani latihan dan menggunakan kemudahan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun bersyarat kerana persatuan itu terikat dengan penaja dan peraturan, kata Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Menyifatkan dakwaan kononnya BAM tidak mengamalkan sikap terbuka berkaitan latihan dan kemudahan kepada pemain kelab seperti dilaporkan sebagai tidak adil dan tidak betul, beliau berkata BAM tidak mempunyai masalah memberi peluang tersebut kepada mana-mana pemain kelab asalkan mereka mematuhi peraturan.

"Kita (BAM) ada penaja dan peraturan yang perlu dipatuhi. Misalnya kelab badminton lain tidak boleh membawa penaja masing-masing ketika pemain mereka menjalani latihan bersama BAM.

"Saya juga difahamkan BAM turut berdepan dengan masalah kerana beberapa pemain dari kelab tidak mematuhi peraturan seperti tidak hadir latihan mengikut jadual," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Media melaporkan luahan hati bekas pemain kebangsaan, Sairul Amar Ayob yang menyatakan BAM tidak mengamalkan sikap terbuka kepada pemain kelab untuk menggunakan kemudahan yang ada dalam badan induk itu selepas beliau keluar daripada BAM dan menyertai kelab Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).

Nadzmi turut kesal dengan sesetengah laporan media yang tidak adil dengan mengecam persatuan itu tanpa bukti kukuh serta tiada objektif.

"Laporan media banyak ambil daripada pemain yang telah keluar dari BAM dan ada sesetengah itu respons daripada pemain yang telah digugurkan, jadi hasil laporan itu tidak adil dan berpihak kepada satu pihak sahaja.

"Kita perlu faham, setiap tahun penaja memberi berjuta-juta ringgit. Kita tidak boleh cakap politik dalam pembangunan sukan," katanya.

Antara pemain kebangsaan yang pernah menjalani latihan serta menggunakan kemudahan BAM adalah Hafiz Hashim dan Zulfadli Zulkifli dari KLRC. -BERNAMA

Artikel Lain